Negeri Sembilan alu-alukan jemaah pakai pelitup muka ketika solat Aidilfitri

Bernama
April 20, 2023 16:49 MYT
Pemakaian pelitup muka itu juga sebagai usaha jemaah untuk menjaga kesihatan diri sendiri dan orang lain lebih-lebih lagi negara masih berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik.- Gambar hiasan
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengalu-alukan jemaah untuk menggunakan pelitup muka dan membawa sejadah sendiri ketika hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata pemakaian pelitup muka itu juga sebagai usaha jemaah untuk menjaga kesihatan diri sendiri dan orang lain lebih-lebih lagi negara masih berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik.
"Kita belum wajibkan, tetapi pada siapa yang ingin menggunakannya juga amat dialu-alukan. Subuh tadi, ketika saya qiam dan solat subuh di Masjid Taman Tunku Ja'afar, saya lihat warga emas ramai yang menggunakan pelitup muka dan menggunakan sejadah masing-masing.
"Jadi, saya rasa ini keprihatian yang baik dalam kalangan mereka untuk menjaga kesihatan. Ini (pelitup muka) harus digalakkan tetapi kita bukan wajibkan lagi di Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mantai Aidilfitri 2023 di Sikamat di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilaporkan berkata pemakaian pelitup muka semasa menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau amat digalakkan.
Beliau berkata negara masih berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik, justeru prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa pada masa ini amat menggalakkan pemakaian pelitup muka sekiranya berada di kawasan ramai orang dan sesak.
-- BERNAMA
#Aidilfitri #pelitup muka #Sejadah #Solat sunat Aidilfitri
;