Negeri berjiran Thailand sifatkan pembukaan sempadan pemangkin ekonomi
Bernama
Mac 8, 2022 06:15 MYT
Mac 8, 2022 06:15 MYT
KUALA LUMPUR: Tiga negeri yang berjiran dengan Thailand menyifatkan pembukaan sempadan pada 1 April ini akan membawa banyak kesan positif, terutamanya dari segi ekonomi dan hubungan masyarakat kedua-dua negara.
Di KEDAH, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pembukaan sempadan negara itu turut akan membuka peluang kepada kemasukan pekerja asing, yang sekali gus akan dapat meningkatkan produktiviti di kebanyakkan sektor.
"Ini termasuk kilang, ladang, perkhidmatan, pembinaan dan restoran, yang mana ekonomi kita akan 'boom' semula. Bagaimana pun, kerajaan perlu berhati-hati. Kita perlu sedikit masa untuk siapkan tatacara yang sesuai," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan bahawa Malaysia akan memasuki Fasa 'Peralihan Ke Endemik' serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April.
Bagi Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff, beliau berkata persatuan itu menyokong penuh langkah kerajaan membuka semula sempadan, yang dilihat dapat merancakkan kembali industri pelancongan sekali gus memberi kelegaan kepada pemain industri termasuk pengusaha homestay, hotel serta peniaga.
Di KELANTAN, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan 50 peratus pelancong ke negeri itu, selain melihat ia mampu membawa kesan positif kepada pemain industri pelancongan dan ekonomi negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata pembukaan sempadan negara, bukan sahaja dapat melonjakkan ekonomi masyarakat setempat malah dapat menjalinkan hubungan dengan masyarakat luar.
"Apa yang penting adalah kerjasama masyarakat untuk terus kekal patuh kepada prosedur operasi standard (SOP), dan norma baharu untuk mengekang penularan wabak COVID-19 selepas sempadan negara dibuka," katanya.
Di PERLIS, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata kerajaan negeri bersiap sedia untuk menerima pelancong asing khususnya dari Thailand.
"Keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan sudah pastinya telah mengambil kira semua pandangan yang diberikan, khususnya dari pihak Kementerian Kesihatan (KKM). Mereka dapati perkara ini (COVID-19) dapat dikawal," katanya.
Sementara itu, Exco Hubungan dan Kerjasama Sempadan Perlis Ruzaini Rais, berkata pembukaan sempadan sememangnya dinantikan oleh banyak pihak dan ia bakal memberi limpahan ekonomi dari segi perdangangan dan pelancongan.
"Untuk itu, kita telah membuat persediaan awal termasuk melakukan gotong-royong pembersihan kawasan sekitar di pintu sempadan Padang Besar dan Wang Kelian," katanya.
-- BERNAMA