Negara tua: Penyelidikan dari institusi dan pakar bantu persediaan holistik - Nancy

Madiha Abdullah
Oktober 23, 2024 17:30 MYT
Nancy merasmikan Persidangan Kebangsaan Mengenai Penuaan 2024 (NCA2024) anjuran UPM menerusi Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®). - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat berbesar hati melihat kemajuan penyelidikan dalam bidang gerontologi, terutamanya dari segi usaha meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan warga emas.

Ringkasan AI
  • Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melihat kemajuan dalam penyelidikan gerontologi, terutama dalam usaha meningkatkan kualiti hidup warga emas, dengan sokongan Universiti Putra Malaysia (UPM).
  • Penyelidikan mengambil kira elemen budaya, sosio-ekonomi, dan nilai kekeluargaan untuk pendekatan holistik yang sesuai dengan keperluan warga emas.
  • Kerajaan mengajak sektor awam dan swasta untuk bekerjasama dalam mewujudkan persekitaran kondusif ke arah penuaan mampan di Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penyelidikan yang dilakukan oleh ahli akademik dan pakar, khususnya oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), telah membantu pihaknya untuk memahami kelompok demografi ini dengan lebih berkesan.
Jelasnya, kajian yang dilakukan mengambil kira elemen budaya, sosio-ekonomi dan nilai kekeluargaan, sekali gus membawa pendekatan holistik yang lebih sesuai dengan keperluan warga emas.
“Kita tidak mahu membiarkan masyarakat kita menjadi orang yang tidak berupaya. Sesetengah daripada mereka sudah berusia 70 dan 80 tapi masih aktif.
“Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Putrajaya adalah antara model pusat untuk warga emas. Ada dalam kalangan mereka mengusahakan perniagaan seperti makanan sejuk beku.
“Kita gembira dengan perkembangan ini bukan kerana mereka dapat menjana pendapatan tetapi mereka dapat berdikari,” katanya.
Justeru, beliau menjemput semua pihak, sektor awam dan swasta, untuk terus bekerjasama dalam memastikan persekitaran kondusif ke arah penuaan mampan di Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Mengenai Penuaan 2024 (NCA2024) anjuran UPM menerusi Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), pada Rabu.
Program dengan kerjasama Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) yang bertemakan "Ageing with Dignity: The Importance of Strengthening Care and Support Systems for Older Persons Worldwide" itu menyasarkan untuk memupuk kerjasama serta meningkatkan kesejahteraan warga emas melalui usaha kolaboratif antara kerajaan, penyelidik dan pelbagai pemegang taruh.
#negara tua #warga emas #Nancy Shukri
;