Negara tidak boleh dianggap maju jika rakyat masih berjuang untuk hidup - Dr Mahathir
Hasimi Muhamad
Oktober 16, 2019 10:45 MYT
Oktober 16, 2019 10:45 MYT
Sesebuah negara tidak boleh dianggap maju sekiranya kemudahan dan pembangunan beberapa kumpulan rakyat masih berada pada tahap tidak memuaskan.
Ia termasuk keperluan rakyat dalam mendapatkan akses kepada kemudahan asas dan pekerjaan yang memberikan pendapatan yang mencukupi.
Jelas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pengalaman mengajar kerajaan bahawa pertumbuhan ekonomi itu sendiri tidak berpadanan dengan pembangunan bagi semua rakyat.
"Negara juga tidak membangun jika sesetengah penduduknya perlu berjuang setiap hari bagi mendapatkan keperluan asas untuk meneruskan hidup dan mempunyai anak-anak yang menghadapi masalah kekurangan zat makanan.
"Kekurangan dalam mencapai matlamat Pembangunan Mampan perlu ditangani segera, dan bagi mengelakkan Malaysia tergolong dalam negara-negara membangun yang aspirasinya terjejas," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Pembasmian Kemiskinan untuk Pembangunan Inklusif dan Sejahtera di Malaysia (IDEP 2019) anjuran Yayasan Sejahtera di Mercu UEM, di sini.
Dengan tajuk 'Pembangunan Inklusif dan Sejahtera Dalam Malaysia Baharu', forum tersebut diadakan sempena Hari Antarabangsa Bagi Membasmi Kemiskinan yang disambut di seluruh dunia pada 17 Oktober setiap tahun.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, Malaysia tidak hanya bergelut dengan kemiskinan mutlak, sebaliknya turut berdepan kemiskinan relatif, kelompok kemiskinan berterusan dan kemiskinan bandar.
“Sungguhpun kemiskinan luar bandar masih terus kritikal, kemiskinan bandar pula memerlukan perhatian dan preskripsi dasar.
"Kelompok kemiskinan berterusan menjadi penghalang kepada penyelesaian dasar di Malaysia," tambah beliau.
Dalam perkembangan sama, Yayasan Sejahtera hari ini turut memperkenalkan platform Dana Pembangunan Masyarakat (CDF), yang dirasmikan Dr Mahathir.
CDF berfungsi sebagai platform secara langsung bagi sektor swasta untuk menyalurkan derma kepada projek komuniti dan bekerja rapat untuk mengurangkan kesengsaraan kemiskinan.
Menurut Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sejahtera, Tan Sri Faizah Mohd Tahir, usaha pembasmian kemiskinan memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak berkepentingan.
“CDF akan memberi manfaat kepada masyarakat B40, khususnya mereka yang berada di bawah paras 20 peratus golongan itu.
“Penerima CDF termasuk ketua isi rumah berpendapatan rendah, ibu tunggal dan kanak-kanak,” katanya ketika menyampai ucapan.
#Dana Pembangunan Masyarakat
#ekonomi
#Forum Pembasmian Kemiskinan
#kemiskinan bandar
#kemiskinan relatif
#Mahathir Mohamad
#Matlamat Pembangunan Mampan
#negara maju
#negara membangun
#pembangunan
#pembangunan mampan
#rakyat
#Yayasan Sejahtera