Negara sasar 50% tenaga kerja berkemahiran tinggi pada 2020

Wan Syamsul Amly
Januari 23, 2014 19:19 MYT
Negara menyasarkan 33 peratus tenaga kerja dalam kategori pekerjaan berkemahiran tinggi pada tahun 2015.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jumlah 28 peratus pekerja mahir negara pada tahun lepas disifatkan masih rendah.
"Peratus ini masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara berpendapatan tinggi yang lain. Kita mensasarkan angka itu menjadi 50 peratus menjelang tahun 2020," katanya.
Najib berkata demikian semasa merasmikan majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) di sini, hari ini.
MATEPM adalah anugerah tertinggi bagi mengiktiraf pemenang-pemenang Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) dan Pertandingan MySkills yang dianjur bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Kementerian Kerja Raya.
Ia mula diperkenalkan pada tahun 1991.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Richard Riot Jaem dan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof.
Jelas Najib, Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) memainkan peranan besar dalam pembangunan bidang latihan kemahiran.
"Terdapat sembilan kementerian yang terlibat secara langsung dalam menyedikan latihan. Saya difahamkan lebih kurang 434 ILKA dengan hampir 200,000 pelatih pada satu-satu masa.
"Sementara sebanyak 753 ILKS ditauliahkan Jabatan Pembangunan Kemahiran menawarkan latihan dalam bidang sama," ujarnya.
PKM merupakan pertandingan kemahiran yang diadakan setiap tahun dan bertujuan memilih serta mengiktiraf pelatih yang mempunyai kemahiran unggul.
Ia terbuka kepada pelajar dan belia yang berumur 20 tahun ke bawah.
Muhammad Izzat Sulaiman dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Rembau diumum pemenang MATEPM bagi kategori belia sementara Muhamad Hafiz Ibrahim dari Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Melaka dipilih pemenang untuk kategori pengajar.
Pemenang akan mewakili negara ke ASEAN Skills Competition (ASC) di Hanoi, Vietnam tahun ini dan berpeluang ke World Skills Competition (WSC) di Sao Paolo, Brazil pada 2015.
#Najib Tun Razak #pekerja mahir
;