Negara rugi RM20 bilion akibat kekurangan pekerja asing, sektor perladangan antara terjejas

Faida Rahim
Januari 26, 2023 11:17 MYT
Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sektor perladangan sawit, antaranya, berhadapan kekurangan 63,000 tenaga kerja asing sekali gus menyebabkan hasil komoditi itu terjejas teruk. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA : Negara kehilangan sekitar RM20 bilion hasil pendapatan ekoran kekurangan tenaga pekerja asing pada tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sektor perladangan sawit, antaranya, berhadapan kekurangan 63,000 tenaga kerja asing sekali gus menyebabkan hasil komoditi itu terjejas teruk.
Dalam usaha menyelesaikan krisis tenaga kerja asing itu, kerajaan, kata beliau, bersetuju untuk memudahkan proses kemasukan pekerja asing dan melaksanakan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) 2.0.
Dalam masa sama, jelasnya, kerajaan berharap perbincangan bersama negara Indonesia dan Bangladesh akan berjalan lancar bagi memastikan kemasukan pekerja asing ini dapat dilaksanakan dengan lancar.
"Untuk tenaga pekerja asing ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) merupakan kementerian peneraju. Mereka akan pergi ke Indonesia dan Bangladesh yang merupakan pembekal tenaga untuk berbincang.
"Di peringkat Malaysia, apa diputuskan di Kabinet ialah untuk memudahkan segala proses," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu di Kementerian Perladangan dan Komoditi, di sini, hari ini.
Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 bagi tenaga kerja yang berakhir pada 3 Disember tahun lalu, diteruskan selama setahun berkuatkuasa serta-merta.
Sebelum ini, Pelan Rekalibrasi PATI Tenaga Kerja yang dilaksanakan sehingga 31 Disember lalu menyaksikan pendaftaran 418,649 PATI manakala 295,425 PATI kembali ke negara masing-masing melalui Program Rekalibrasi Pulang.
#Fadillah Yusof #Kementerian Sumber Manusia #Kementerian Dalam Negeri #pendatang tanpa izin
;