Negara perlu transformasi kaedah rawat ketagihan - Pakar
Astro Awani
Februari 9, 2023 18:27 MYT
Februari 9, 2023 18:27 MYT
KUALA LUMPUR : Usaha untuk merawat sesuatu ketagihan bukanlah perkara mudah apatah lagi permasalahan itu merupakan satu penyakit yang turut saling berhubung dengan otak manusia.
Menurut pengasas Solace Asia, Prof Adj Dr Prem Kumar Shanmugam, soal ketagihan merupakan penyakit yang menghubungkan otak manusia selain berdepan cabaran ketiadaan ubat yang spesifik untuk merawat.
Bercakap mengenai soal ketagihan, Dr Prem menyatakan, ia bukan sahaja berkaitan dadah malah turut membabitkan pelbagai jenis ketagihan seperti rokok, seks, alkohol, dan sebagainya.
“Ramai yang masih tidak faham ketagihan ini merupakan satu penyakit dan kita tidak mempunyai ubat yang khusus untuk rawat dan hilangkan ketagihan.
“Dadah jenis methamphetamine misalnya cukup popular dalam kalangan penagih kerana salah satu faktornya yang murah dan mudah diperoleh.
“Dadah ini akan rangsang otak secara maksimum dan akan berikan kesan yang buruk pada individu disebabkan bahan kimia merbahaya pada dadah tersebut.
“Lebih buruk wujud dadah jenis cecair yang mengandungi dadah jenis sinteti ,” katanya kepada Astro AWANI.
Katanya lagi, seseorang individu akan berdepan masalah halusinasi dan psikotik yang akan menjejaskan kehidupan seharian.
Mengulas mengenai kaedah rawatan, Dr Prem berpendapat, negara perlu melakukan transformasi rawatan selari dengan peredaran zaman memandangkan kaedah sebelum ini dilihat kurang berkesan.
“Sukar untuk kita paksa seseorang itu untuk terus berhenti daripada sesuatu ketagihan dan kita perlu kaedah gentian untuk mereka berhenti secara berperingkat.
“Sebagai contoh, kita pernah menggunakan teknik pertukaran jarum tetapi bukan gunakan dadah dan kita ganti dengan ubatan … ia kelihatan berkesan.
“Malah kita juga berjaya kurangkan kes HIV dengan kaedah terapi gantian produk dan bukan berhenti secara mendadak.
Ujarnya, langkah itu memerlukan kerjasama semua pihak dalam memastikan perubahan itu mampu dilaksanakan.
Soal perubahan atau transformasi rawatan katanya tidak akan tercapai sekiranya ia bergerak dalam bentuk persaingan selain negara sememangnya mempunyai jumlah pesakit yang agak tinggi.
“Ada kepakaran yang kami ada mungkin tidak ada di luar sana maka perkara ini memerlukan perbincangan bersama semua pihak untuk kita kongsi pendapat.
“Kita juga perlu lihat semula dasar atau polisi berhubung penggunaan ganja untuk perubatan kerana banyak negara luar dah mula gunakan kaedah itu … ada juga yang terpaksa pergi ke negara jiran untuk dapatkan rawatan tersebut,” ujarnya lagi.
Dr Prem merupakan pakar dalam merawat beberapa isu ketagihan di negara ini yang mempunyai pusat rawatan swasta bagi membantu mereka yang terbabit dengan pelbagai jenis ketagihan.
Pusat rawatan Solace Asia juga telah berjaya menyelesaikan beberapa kes pesakit yang terhimpit dengan pelbagai ketagihan dengan menggunakan kaedah rawatan tersendiri.
Malah, pusat rawatan tersebut bukan sahaja menerima pesakit warganegara bahkan turut mendapat kemasukan pesakit dari negara luar.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan bantuan pemulihan dan rawatan pelbagai jenis ketagihan dengan bantuan pakar dan kaedah luar kotak boleh menghubungi www.solaceasia.org untuk maklumat lanjut.
Tonton video penuh: