Negara perlu reformasi pendidikan - Anwar

Astro Awani
Februari 22, 2021 14:14 MYT
Anwar menjelaskan, reformasi pendidikan akan mengelakkan negara ketinggalan sekali gus satu survival pendidikan kepada negara, masyarakat dan umat. - Foto Facebook /Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Negara memerlukan satu reformasi pendidikan yang akan menghalang masalah besar terutama kepada generasi miskin sama ada di bandar, desa atau pedalaman.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, ia juga akan mengelakkan negara ketinggalan sekali gus satu survival pendidikan kepada negara, masyarakat dan umat.
"Sebab itu saya tekankan tadi tentang keperluan meminta kepimpinan di kementerian membuka ruang kepada perancang memikir semula, memanfatkan kajian dan kepakaran di universiti-universiti tempatan dan juga pembaharuan yang ada, pendedahan dan perkembangan di dunia luar.
"Kalau tidak kita akan tempang dan tercorot dari segi mutu pendidikan, jadi satu isu lain.
"Saya tidak sangat hairan dengan istilah-istilah baharu ini sebab dahulu kita sebut anjakan paradigma, 60, 50, 40 tahun dahulu tetapi bukan anjakan paradigma ini disebut oleh ahli falsafah, ThomasKuhn, yang ada hanya beberapa kertas baharu sahaja," katanya semasa sesi ‘Bicara Pendidikan: Keutamaan Yang Diabaikan’ di laman Facebooknya pada Isnin.
Turut menjadi panel, bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial UNISEL Amidi Abdul Manan dan pesara guru yang juga pengasas The Reading Bus Club Cheli Tamilselvam Nadarajah.
Dalam pada itu kata Anwar, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan tidak mempunyai penyelarasan sesama mereka.
Jelasnya, ia sekali gus menyebabkan kesukaran membuat penyelarasan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah sendiri.
#Anwar Ibrahim #sekolah #pembangkang #Kementerian Pendidikan #guru #pendidikan #Maszlee Malik #reformasi pendidikan #pelajar
;