Negara perlu peralatan baharu kawal sempadan - Penganalisis
Astro Awani
November 25, 2020 15:00 MYT
November 25, 2020 15:00 MYT
KUALA LUMPUR: Negara memerlukan peralatan baharu yang lebih sistematik dan komprensif untuk mengawal persempadanan perairan serta darat yang besar.
Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa dan Pengajian Keselamatan UKM, Prof Madya Salawati Mat Basir berkata, ia cabaran koordinasi yang perlu diperkuatkan dengan negara-negara sempadan lain untuk memastikan jenayah rentas sempadan dan penyeludupan dapat diatasi.
"Adakah kita hanga bergantung kepada Pasukan Gerak Khas (PGK) semata, bagaimana kita melihat tenaga manusia yang perlu kita gunakan untuk mengawal sempadan.
"Saya lebih kuka jika kita mampu memberi perbelanjaan atau bajet baru kepada peralatan baharu. Kalau kita lihat ada pagar, ada tembok, sesuaikah pagar atau tembok itu untuk abad ke-21 ini?
"Atau bagaimana kerajaan melihat pagar dan tembok itu sudah mencukupi? Perlukah kita meletakkan peralatan-peralatan lain yang boleh kita tinjau dari jauh tanpa memerlukan pasukan polis atau tentera kita bergadai nyawa?" katanya semasa sidang Google Meet pada Rabu.
Pada Selasa, seorang anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia -Thailand terbunuh akibat ditembak.
Ketika kejadian kira-kira pukul 3.10 pagi, mangsa Koperal Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah.
Dalam pada itu katanya, aspek penguatkuasaan dalam negara tidak nampak lemah tetapi perlu ditambah baik.
Namun ujarnya, negara kadangkala tidak mahu memperbaharui alatan moden kepada pasukan keselamatan atas alasan wang yang tidak mencukupi.
Paling penting jelasnya, melihat masa hadapan di mana teknologi yang semakin tinggi digunakan penyeludup dan membandingkan pasukan keselamatan yang mengaplikasi taktikal biasa semata-mata.