Negara-negara anggota OIC sepakat pendirian Malaysia kecam kekejaman zionis di Gaza

Astro Awani
Ogos 8, 2024 13:34 MYT
Mohamad menggesa negara-negara anggota OIC supaya tidak terperangkap dengan cubaan pihak tertentu yang dilihat cuba menggagalkan proses rundingan damai di Gaza - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sepakat dengan pendirian Malaysia untuk mengecam sekeras-kerasnya serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Rakyat Palestin.
Kesepakatan itu turut disuarakan negara-negara anggota susulan tindakan pencerobohan serta ancaman Israel ke atas kedaulatan Iran.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menggesa negara-negara anggota OIC supaya tidak terperangkap dengan cubaan pihak tertentu yang dilihat cuba menggagalkan proses rundingan damai di Gaza.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menggesa negara-negara anggota OIC supaya tidak terperangkap dengan cubaan pihak tertentu yang dilihat cuba menggagalkan proses rundingan damai di Gaza.
Kementerian itu berkata, Mohamad mengusulkan agar OIC mewujudkan satu Kumpulan Pakar bagi membantu menggerakkan tindakan susulan sewajarnya untuk melaksanakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
"Selain itu, menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengaktifkan semula Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Apartheid.
"Menerajui pelaksanaan Pendapat Nasihat ICJ melalui Sesi Khas Tergempar Ke-10 berkenaan isu Palestin di Perhimpunan Agung PBB, bersama-sama dengan Negara-Negara Sepemikiran," jelas kenyataan itu pada Khamis.
Dalam masa sama, Mohamad mengusulkan agar OIC memperluas sokongan untuk membantu membina semula ekonomi dan kehidupan rakyat Palestin, pasca konflik.
Kesemua pendirian tersebut dinyatakan Mohamad semasa menghadiri Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif Peringkat Menteri-Menteri Luar OIC di Jeddah, Arab Saudi.
Jelas kenyataan itu, penyertaan Malaysia di mesyuarat tersebut adalah sebahagian daripada usaha-usaha berterusan dan komitmen jitu negara dalam memperjuangkan isu Palestin di pelbagai platform antarabangsa.
#Mohamad Hasan #Arab Saudi #Israel #Palestin