Negara merasai kehilangan Salahuddin - Tun M

Sinar Harian
Julai 24, 2023 17:35 MYT
Dr Mahathir berkata, kehilangan Allahyarham begitu dirasai memandangkan beliau seorang pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab. - Gambar/ Sinar Harian
SHAH ALAM : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai satu kehilangan buat negara.
Pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu begitu dirasai memandangkan Allahyarham dilihat sebagai seorang pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab.
"Saya mengenali beliau dengan lebih rapat ketika bersama dalam kabinet di antara tahun 2018 hingga 2020.
"Sepanjang tempoh tersebut, saya dapati beliau seorang pemimpin yang baik budi pekerti, rendah diri, bersifat amanah dan bertanggungjawab.
"Negara akan merasai kehilangannya," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Salahuddin, 61, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam Ahad.
Allahyarham yang lahir pada 1 Disember 1961 pernah dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2018 hingga 2020 ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-7. - Sinar Harian
#Salahuddin Ayub #meninggal dunia #Tun Mahathir #rahmah
;