"Negara mana yang berani menekan, mengugut Perdana Menteri yang kita sayang ini?"- Ahmad Fadhli

Ridauddin Daud
Oktober 26, 2023 11:10 MYT
Ahmad Fadhli Shaari (PN - Pasir Mas) bertanya negara mana yang berani melakukan ugutan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana lantang menyuarakan isu Palestin kepada dunia.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan beliau menerima ugutan kerana lantang menyuarakan isu Palestin kepada dunia.
Berpandukan kenyataan itu, Ahmad Fadhli Shaari (PN - Pasir Mas) membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat pada Khamis, bertanya negara mana yang berani melakukan ugutan sebegitu.
Beliau turut meminta Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menamakan negara tersebut dan mencadangkan Malaysia menghantar nota bantahan kepada negara terbabit.
“Apabila kita dengar Perdana Menteri menyatakan beliau menerima ugutan, tekanan, ancaman dan sebagainya, saya fikir Menteri (Zambry) kena dedahkan negara mana yang berani menekan, mengugut Perdana Menteri yang kita sayang ini?
“Kerana kita tak sanggup melihat Perdana Menteri kita ditekan dan diugut seperti ini.
“Kalau mereka berani menekan Perdana Menteri kita, Malaysia harus menghantar nota bantahan kepada kedutaan negara mereka yang ada di negara kita,” katanya.
Memberikan respons terhadap persoalan beliau, Zambry berkata, beliau tidak akan menamakan negara itu namun menegaskan, Malaysia tidak gentar dengan ugutan sebegitu.
“Dalam konteks Perdana Menteri kita, beliau mengambil langkah yang lebih jauh untuk bersama-sama dengan kalangan pemimpin Islam dunia termasuk pemimpin bukan Islam.
“Saya sendiri, sebagai Menteri Luar telah melakukan beberapa usaha. Saya hubungi dan berjumpa berpuluh-puluh Menteri Luar yang lain.
“Saya menyatakan pendirian supaya masalah Palestin ini dapat diselesaikan, peperangan ini mesti diselesaikan dalam kadar segera.
“Bagi menjawab perkara yang kedua, saya fikir di dalam Dewan ini, elok kita tidak namakan nama mereka…tapi seperti yang ditegaskan Perdana Menteri berkali-kali, kita tidak gentar dengan sebarang ugutan yang mereka lakukan,” ujarnya.
#Anwar Ibrahim #Zambry Abd Kadir #Palestin #Ahmad Fadhli Shaari
;