Negara maju harus tundukkan 'ego' dan bekerjasama dengan ASEAN - Penganalisis

Pia Ernadya
April 28, 2024 21:07 MYT
Negara-negara maju harus berganding bahu bersama dengan anggota ASEAN untuk merancakkan lagi ekonomi ke arah yang lebih mampan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Negara-negara maju harus berganding bahu bersama dengan anggota ASEAN untuk merancakkan lagi ekonomi ke arah yang lebih mampan.
Menurut penganalisis ekonomi, Fithra Faisal Hastiadi, negara membangun di ASEAN sedang mencorak ekonomi ke arah lebih mampan yang perlu dimanfaatkan negara maju.
Malah, katanya, sumber pertumbuhan ekonomi dunia datangnya dari negara membangun khususnya ASEAN. Itu sekali gus menunjukkan bahawa negara-negara ASEAN itu tersendiri mempunyai potensi besar dalam mengikuti pertumbuhan ekonomi global.
"Selama ini, negara-negara maju terutamanya negara-negara besar menganggap bahawa negara berkembang (ASEAN) itu adalah subordinate (bawahannya). Padahal kita sekarang ini dalam hubungan bersifat multipolar.
"Dalam konteks pertumbuhan ekonomi dunia, wilayah ASEAN adalah yang paling cepat berkembang dan ASEAN dilihat sebagai sebuah pusat pertumbuhan ekonomi global.
"Kita juga memerlukan negara-negara besar supaya menundukkan egonya dan menghilangkan (sikap) standard global," katanya ketika diwawancara pada Buletin AWANI Khas pada Ahad.
Mesyuarat Khas WEF, Perdana Menteri dan Pemimpin Dunia
Beliau turut bersetuju dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ASEAN bersikap neutral dalam hal menarik pelaburan dari negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan China.
"Saya sepakat Datuk Anwar menyebutkan bagaimana Malaysia dan Indonesia, ASEAN secara umum masih mampu menangkap peluang-peluang dari AS dan juga China sebagaimana yang kita sampaikan tadi.
Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim,melalui sesi pleno pembukaan Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) pada Ahad, berkata Putrajaya menjalinkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah dan pada masa yang sama mengekalkan hubungan dua hala yang mantap dengan China, Korea Selatan dan Jepun.
Menurut Perdana Menteri itu, ini juga termasuk dengan China kerana terdapat pelaburan dan minat yang semakin meningkat.
#ASEAN #WEF #ekonomi global #Amerika Syarikat #China
;