Negara lepasi kemuncak Omicron, tapi SOP masih berkuat kuasa - Khairy
Firdaus Azil
April 14, 2022 17:38 MYT
April 14, 2022 17:38 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia kini sudah melepasi kemuncak varian Omicron, selari dengan unjuran Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu pada penghujung Mac lepas, kata menterinya, Khairy Jamaluddin.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, selepas dua minggu memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April lepas, keadaan jangkitan COVID-19 di negara ini terus stabil, termasuk penurunan kadar kematian, kes aktif, serta kadar kebolehjangkitan (RT).
Namun, biarpun lebih banyak kelonggaran ketika ini, beliau mengingatkan bahawa masih terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti, untuk terus memastikan jangkitan COVID-19 terus stabil.
“Setelah dua minggu, kita membenarkan beberapa kelonggaran dan juga protokol baharu terutamanya yang tidak libatkan kuarantin bagi pengembara, kita dapati keadaan hari ini semakin stabil, di mana kes aktif COVID-19 telah menurun kepada 120,592, dan kita dapati hampir 97 peratus lebih sekarang, berisolasi di rumah, tak perlu dirujuk ke hospital atau pusat kuarantin.
“Kalau lihat dari segi nilai RT atau angka kebolehjangkitan, ia di bawah paras 1, atau lebih tepat di bawah paras 0.9, untuk beberapa hari lepas, dan ini menunjukkan trend jangkitan semakin stabil dan menurun.
“Kalau lihat dari segi penggunaan fasiliti COVID-19, sejak beberapa minggu lepas turun, dan ini adalah selari dengan unjuran KKM yang telah saya umumkan pada awal bulan Feb, kita akan lihat kemuncak Omicron pada akhir Mac,” katanya lagi.
Jika keadaan terus menjadi lebih baik, Khairy berkata, berkemungkinan besar kerajaan dengan nasihat KKM akan terus membuat beberapa lagi kelonggaran.
Namun, buat masa ini, beliau mengingatkan semua pihak bahawa masih ada SOP yang perlu dipatuhi, seperti pemakaian pelitup muka di tempat awam, dan menggunakan MySejahtera untuk mendaftar masuk di tempat-tempat tertentu.
Menyentuh mengenai status vaksinasi, Khairy berkata, setakat ini negara semakin mencapai sasaran untuk 70 peratus penerimaan dos penggalak, selepas data terkini menunjukkan ia berada pada paras 67.4 peratus.
Namun, beliau berkata, status PICKids berkemungkinan tidak mencapai sasarannya iaitu sekurang-kurangnya 50 peratus kadar penerimaan menjelang hujung bulan ini.
“Oleh demikian YB Timbalan Menteri (Datuk Dr Noor Azmi Ghazali) semalam, pengerusi CITF-C telah mengumumkan bahawa kita ada tarikh tamat bagi PICKids, iaitu pada Mei 15, dan bagi mereka tidak tampil untuk dapat dos pertama, mereka tidak lagi akan dapat diberikan vaksin Pfizer atau Sinovac oleh percuma oleh kerajaan.
“Mereka perlu membayar dalam pasaran swasta, yang hanya ada vaksin Sinovac. Manakala Pfizer hanyalah boleh didapati melalui program kerajaan. Cuma kerajaan akan simpan stok untuk mereka yang belum lagi sampai 5 tahun, atau stok penimbal untuk mereka yang akan sambut hari jadi ke lima,” katanya lagi.
Atas sebab itu, Khairy berkata, beliau merayu pihak ibu bapa dan penjaga untuk mendaftar 15 Mei ini, bagi memastikan anak dan jagaan mereka lebih terlindung daripada wabak COVID-19.