Negara kehilangan seorang ikon pengguna dan alam sekitar
Bernama
Mei 17, 2019 04:00 MYT
Mei 17, 2019 04:00 MYT
Apabila sebut sahaja nama S.M Mohamed Idris pasti akan mengingati penampilannya yang sering bersongkok hitam, memakai kain pelekat dan kurta putih serta berjambang.
Ramai yang mengibaratkan beliau sebagai ikon pengguna dan alam sekitar kerana lantang menyuarakan kritikan dan pandangan berhubung perkara itu.
Pada Jumaat, tepat jam 5 petang, negara kehilangan seorang tokoh yang bukan sahaja dikenali di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pemergian presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) itu sebagai satu kehilangan besar buat negara dan sukar untuk dicari ganti.
"Sebut sahaja Uncle S.M Mohamed Idris beliau sesungguhnya satu nama besar, satu institusi. Beliau sangat sinonim tentang isu kelestarian alam sekitar, pemakanan yang sihat, pembelaan golongan terpinggir, hak-hak pengguna dan mempertahankan kedudukan negara dalam isu-isu perdagangan dunia dan antarabangsa.
"Sudah tentu ini merupakan satu kehilangan besar buat negara seluruhnya dan sukar dicari ganti. Seorang tokoh yang membina sosok dan institusi tersendiri melalui satu idealisme perjuangan yang sangat kukuh. Saya ucapkan takziah kepada keluarganya bagi pihak diri saya dan parti PKR juga," katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Mohamed Idris di kediamannya, di sini malam tadi.
Saifuddin Nasution berkata semenjak menjawat jawatan menteri KPDNHEP, beliau sudah tiga kali bertandang ke rumah Mohamed Idris bagi membincangkan isu-isu berhubung pengguna dan alam sekitar dan kali terakhir beliau bertemu dengan Allahyarham adalah pada Januari lalu.
Menurutnya, setiap kali bertandang ke rumahnya pasti akan pulang dengan perut penuh kerana Allahyarham gemar menjamu tetamu terutamanya nasi beriyani.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon, yang turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham, berkata beliau mengenali Mohamed Idris sangat lama sebelum beliau menjadi ketua menteri lagi.
"Saya memang merasa amat sedih kerana kita kehilangan seorang tokoh pemimpin yang terkenal di dunia sebagai pejuang untuk isu pengguna dan alam sekitar. Sebenarnya saya bersama dengan beliau dalam CAP sebagai seorang Ahli Majlis CAP sejak tahun 1976 selepas saya bekerja di Universiti Sains Malaysia.
"Saya amat bertuah kerana dapat peluang untuk bersama berjuang dengan seorang pejuang yang begitu gigih dan berprinsip dan beliau sebenarnya seorang rakyat Malaysia yang sejati, bukan sahaja kepada Malaysia malah taat kepada alam sekitar. Oleh itu, saya akan sentiasa mengingati pengalaman saya bersama beliau," katanya.
Koh berkata sepanjang menjadi ketua menteri, Mohamed Idris juga sering memberi kritikan sekiranya ada perkara yang tidak betul.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pemergian Mohamed Idris adalah satu yang amat menyedihkan kerana negara kehilangan seorang ikon yang bukan sahaja dikenali di peringkat negeri malah di peringkat antarabangsa.
"Saya mengenalinya secara peribadi sebagai orang Pulau Pinang dan juga anak muda yang pada waktu itu terlibat dengan politik. Beliau banyak memberi nasihat, mengkritik tulisan-tulisan saya untuk saya perbaiki. Saya pernah hadir ke rumahnya di atas jemputan peribadi untuk makan bersamanya, dengan hidangan yang paling dia suka iaitu beriyani," katanya.
Tinjauan Bernama di kediaman Allahyarham mendapati orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa tidak putus-putus hadir bagi memberi penghormatan terakhir.
Mohamed Idris, 92, meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles (GMC), di sini pada jam 5 petang Jumaat kerana sakit tua.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak pada jam 10 pagi Sabtu.
-- BERNAMA
#CAP
#ikon alam sekitar
#ikon pengguna
#jenazah
#kehilangan
#Koh Tsu Koon
#meninggal dunia
#Mujahid Yusof Rawa
#pulau pinang
#S M Mohamed Idris
#Saifuddin Nasution Ismail