Negara disaran berganding bahu perkukuh diplomasi kesihatan

Ehsan A Marisah
Februari 28, 2022 15:16 MYT
Pandemik COVID-19 harus dijadikan sebagai pengajaran kepada semua, terutamanya negara untuk mengadakan kerjasama pelbagai hala di peringkat tempatan dan antarabangsa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Cabaran kesihatan antarabangsa yang berlaku hari ini menyaksikan permintaan dan keperluan negara untuk mengukuhkan diplomasi kesihatan, kata Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru.
Katanya, negara perlu mewujudkan lebih banyak hubungan diplomatik, penyelarasan dan tindak balas pelbagai hala agar dapat menangani pelbagai impak ancaman kesihatan.
“Cabaran kesihatan antarabangsa telah menyaksikan permintaan untuk lebih banyak hubungan diplomatik, penyelarasan dan tindak balas pelbagai hala kerana ancaman kesihatan memberi kesan kepada ekonomi global, keselamatan, hak asasi manusia dan banyak lagi perkara.
“Kesihatan awam dan dasar luar mesti diselaraskan dan ditangani bersama serta saya beranggapan Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam hal ini,” katanya dalam program Focus in Continuity: Roundtable Series on Health Diplomacy disiarkan Astro AWANI pada Ahad.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, pandemik COVID-19 harus dijadikan sebagai pengajaran kepada semua, terutamanya negara untuk mengadakan kerjasama pelbagai hala di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Kata Lee Wuen, kesemua kementerian harus mengamalkan dasar buka pintu antara satu sama lain agar tugas menjawab setiap krisis yang berlaku tidak tertakluk kepada kementerian tertentu sahaja, sebaliknya mencerminkan respons kerajaan secara keseluruhan.
“Justeru, bagi memastikan semua ini terlaksana adalah dengan diplomasi. Kementerian Luar Negeri memainkan peranan penting bukan sahaja di peringkat luar negara, bahkan memperkasa rakyat untuk memiliki seni diplomasi bagi menangani isu ini.
“Di peringkat antarabangsa pula, kita perlu berfikir secara global kerana ancaman pada masa hadapan seperti disebut oleh Dr Lo Ying-Ru, mungkin lebih teruk contohnya perubahan iklim.
“Kita mempunyai ramai doktor dan ahli diplomatik yang hebat tetapi kita tidak mempertemukan mereka dengan sewajarnya. Sekiranya dipertemukan, pasti kita mampu menjadi lebih hebat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Perkhidmatan Kesihatan Malaysia (MHTC), Mohd Daud Mohd Arif berkata, negara menawarkan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi pada harga berpatutan dan ia merupakan sebahagian perkara penting dalam mengukuhkan diplomasi kesihatan.
“Bagi Wisma Putra, terima kasih kepada para diplomat kerana memberi penerangan terhadap penjagaan kesihatan Malaysia, saya percaya akan kemampuan mereka untuk menyampaikan mesej untuk mendapatkan rawatan di dalam negara.
“Saya juga berharap untuk bekerjasama dengan mereka bagi menguatkan lagi mesej ini untuk manfaat sejagat,” ujarnya lagi.
#WHO #Kementerian Luar #diplomasi kesihatan #COVID-19
;