Negara dijangka alami El Nino lemah bermula bulan ini - Nik Nazmi

Bernama
Jun 7, 2023 18:00 MYT
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Negara dijangka mengalami fenomena El Nino lemah bermula bulan ini dan meningkat ke tahap sederhana pada November depan, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata fenomena itu dijangka mengakibatkan pengurangan jumlah hujan sehingga 20 hingga 40 peratus pada Jun hingga Oktober depan terutamanya negeri-negeri di selatan Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.
"Kelaziman dalam tempoh Monsun Barat Daya adalah tiupan angin secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan keadaan atmosfera lebih stabil. Keadaan ini akan menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini seterusnya mengakibatkan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami taburan hujan yang lebih rendah.
"Bagaimanapun, masih terdapat kemungkinan hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi," katanya ketika sesi penerangan situasi fenomena cuaca panas ekstrem di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata negara dijangka berada dalam fasa akhir Monsun Barat Daya pada September dengan jangkaan peningkatan hujan di kebanyakan negeri di Semenanjung dan taburan purata hujan pada paras purata dari 100 milimeter (mm) hingga 450 mm.
PARLIMEN-CUACA 2 KUALA LUMPUR
"Kebanyakan kawasan di Sarawak dijangka menerima jumlah hujan pada paras purata antara 200 mm hingga 350 mm manakala kawasan-kawasan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula dijangka menerima taburan hujan pada paras purata iaitu sekitar 50 mm hingga 250 mm.
"Taburan hujan dijangka terus meningkat pada Oktober susulan negara akan berada dalam fasa Peralihan Monsun yang kedua dan seterusnya pada November apabila negara dijangka memasuki fasa Monsun Timur Laut," katanya.
Beliau juga berkata pada masa ini, tiada suhu ekstrem melebihi 38 darjah Celsius diramal berlaku dari Jun hingga Disember depan.
"Bagaimanapun, masih terdapat kemungkinan negara akan mengalami suhu sedikit lebih tinggi daripada biasa, dengan peningkatan antara 0.5 darjah Celsius hingga 1.0 darjah Celsius," katanya.
Nik Nazmi berkata sejak Januari hingga Mei lepas, bacaan suhu harian maksimum tertinggi yang direkodkan adalah 38.6 darjah Celcius di Raub, Pahang.
PARLIMEN-CUACA 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
"Sehingga Isnin lepas (5 Jun), data terkini menunjukkan hanya kawasan Bentong, Pahang berada pada Tahap 1 iaitu tahap berjaga-jaga, dengan catatan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut manakala kawasan lain di seluruh Malaysia berada pada tahap normal dengan suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah Celsius," katanya.
Sementara itu, Nik Nazmi ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Dewan pada sesi penerangan itu berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) giat menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengelakkan pembakaran terbuka.
Beliau berkata JAS telah mengeluarkan 73 notis arahan dan 48 kompaun berkaitan pembakaran terbuka selain menggunakan teknologi 'big data analytics' dan imej satelit untuk meramal kebakaran hutan.
Ditanya jika pembenihan awan akan dilakukan untuk mengurangkan kesan cuaca panas, Nik Nazmi berkata ia bukan penyelesaian tuntas, ia tertakluk kepada beberapa faktor seperti kesesuaian atmosfera dan kewujudan awan yang bersesuaian.
-- BERNAMA
#El Nino lemah #Nik Nazmi Nik Ahmad #hujan #Monsun Barat Daya
;