Negara bersedia terima kehadiran Fu Wa dan Feng Yi
Wan Syamsul Amly
Januari 28, 2014 08:54 MYT
Januari 28, 2014 08:54 MYT
Negara bersedia menerima dua ekor panda gergasi, Wu Fa dan Feng Yi yang dijangka tiba pada pertengahan April ini dari China.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, pihaknya juga telah mengambil pendekatan terbaik dengan kerjasama dan agensi jabatan dibawah kementeriannya.
"Kita menggunakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Jabatan Pengairan dan Saliran, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dan Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia.
"Ia membolehkan pembinaan kawasan khusus bagi panda tersebut disiapkan dalam tempoh masa yang singkat," katanya.
Palanivel berkata demikian semasa sidang akhbar sempena lawatan ke Kompleks Panda Gergasi di Zoo Negara di sini.
Kompleks yang mempunyai keluasan 1.6 hektar itu merangkumi tiga kawasan pameran utama dengan suhu di bawah 24 darjah celcius.
Ia menyamai habitat asal haiwan itu termasuk antaranya di kawasan senaman, kurungan malam, nurseri dan bilik penyimpanan makanan.
Jelas Palanivel, kehadiran panda gergasi itu bakal membuka peluang negara dalam pembangunan dan penyelidikan konservasi haiwan tersebut.
"Pengalaman itu kelak dapat digunakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai usaha konservasi spesis haiwan tempatan lain.
"Ia sekali gus menyedarkan masyarakat terhadap usaha menghargai keunikan dan kepentingan haiwan liar," ujarnya.
Dua ekor panda yang akan bermastautin di Malaysia, iaitu Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) sekarang ditempatkan di Pusat Penyelidikan dan Perlindungan Panda Bifengxia Ya'an Sichuan China.
Ketibaan panda gergasi bertepatan dengan Sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014 sekali gus merangsang pertumbuhan industri pelancongan negara.
Pasangan panda gergasi yang akan dipinjamkan kepada negara untuk tempoh 10 tahun juga merupakan tanda simbolik bagi memperingati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik dengan China yang akan diraikan tahun ini.