Negara berdepan Monsun Timur Laut awal November
Khairunnisa Kasnoon
Oktober 2, 2015 07:15 MYT
Oktober 2, 2015 07:15 MYT
Kebanyakan tempat di Semenanjung Malaysia dijangka menerima jumlah hujan paras purata bagi bulan Oktober, November dan Disember kecuali Johor dan timur Pahang, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail.
Jelas Che Gayah, buat masa ini negara sedang berhadapan musim peralihan monsun yang dijangka berakhir awal November nanti.
Peralihan monsun katanya, akan membawa kepada Monsun Timur Laut pada minggu pertama dan kedua November dan dijangka berakhir minggu kedua atau ketiga bulan Mac 2016.
"Semasa Monsun Timur Laut kita jangkakan akan berlaku empat hingga lima episod hujan lebat monsun.
"Episod pertama kita jangkakan pada minggu ketiga dan keempat November 2015 dan sepanjang musim Monsun Timur Laut atau tengkujuh kita jangkakan taburan hujan bulan November di kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak kecuali bahagian Timur Sabah akan dapat hujan pada paras purata," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.
Pada Disember katanya, kebanyakan negeri akan mendapat hujan purata kecuali Johor dan Pahang dimama JMM menjangkakan hujan melebihi purata dijangka 15 hingga 30 peratus lebih dari Disember.
Che Gayah menjelaskan, hujan paras purata di negeri Pantai Timur pada November dan Disember agak tinggi menyebabkan kebarangkalian banjir sekiranya ia berterusan.
"Dengan hujan paras purata, banjir masih boleh berlaku apabila episod hujan lebat yang sama, selalunya tiga hari berturut semasa monsun bermakna negeri Pantai Timur yang lazimnya alami banjir semasa musim tengkujuh apabila menadapat hujan pada paras normal akan mengalami banjir," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Che Gayah turut memberitahu, semua bahagian di Sarawak dijangka menerima taburan hujan paras purata pada Oktober hingga Disember 2015.
Namun katanya, bahagian barat Sarawak dijangka menerima jumlah hujan melebihi paras purata pada Januari hingga Februari 2016 dan kembali kepada paras purata pada Mac tahun hadapan.