'Negara berdepan krisis integriti sekiranya...' - Akhbar Satar
Sahlizah Mohamed
Mac 21, 2019 21:37 MYT
Mac 21, 2019 21:37 MYT
Malaysia kini berdepan dengan cabaran krisis integriti apabila 55.1 peratus tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari tahun 2013 hingga 2018 membabitkan golongan muda berusia antara 20 hingga 39 tahun.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar berkata, jumlah 55.1 peratus itu adalah daripada angka keseluruhan tangkapan sebanyak 4,000 individu.
“Sekiranya kerajaan tidak berusaha untuk menanganinya, kemelut itu akan menjadi semakin sukar.
“Kita menghadapi masalah integriti bukan sahaja dalam kalangan generasi kini bahkan generasi masa depan. Mereka ini akan jadi pemimpin negara, ahli politik, ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Namun sekiranya isu integriti ini masih gagal diatasi, sudah tentu isu rasuah agak sukar untuk kita atasi pada masa-masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media forum Political Funding in Malaysia: The European Experience di sini, pada Khamis.
Forum berkenaan membincangkan topik berkenaan undang-undang dana politik di Eropah dari tiga negara iaitu Belanda, Norway dan Jerman.
Justeru, ahli politik pada hari ini perlu menunjukkan sikap yang baik dan imej yang bersih dalam sebagai contoh kepada golongan muda yang bakal mentadbir negara satu masa nanti.
Katanya, ahli politik juga perlu ikhlas dalam misi dan visi untuk membantu rakyat kerana menjadi wakil rakyat bukan bertujuan mengutip kekayaan untuk diri sendiri.
“Jadi bagaimana sekiranya ahli politik yang mencipta dan membuat undang-undang tetapi mereka juga yang melanggar undang-undang itu?
“Sepatutnya ahli politik perlu tunjukkan contoh yang baik kepada rakyat supaya rakyat akan amalkan satu sikap yang baik.
“Kita juga dapati bahawa apabila hendak menjadi ahli politik, tujuan utama kita bukan untuk kekayaan diri tetapi tujuan kita untuk bantu rakyat dan negara,” katanya.
#Belanda
#dana politik
#Datuk Seri Akhbar Satar
#Jerman
#krisis integriti
#Norway
#political funding
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia