Negara anggota NAM mesti bersatu - Tun Mahathir
Hasimi Muhamad
Oktober 25, 2019 20:50 MYT
Oktober 25, 2019 20:50 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa anggota negara Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) agar terus bersatu padu dan berpegang kepada Prinsip Bandung yang menjadi asas kepada Pergerakan tersebut.
Menurut pemimpin berusia 94 tahun itu, sejak kali terakhir beliau berucap di Sidang Kemuncak tersebut 16 tahun lalu, NAM kini dilihat sudah mula melupakan matlamat asal penubuhan Pergerakan tersebut.
Ujar Dr Mahathir, anggota negara NAM tidak lagi bersatu, sebaliknya mengambil peluang untuk menyuarakan bantahan terhadap satu sama lain.
"Saya yakin kita semua mempunyai perbezaan. Tetapi perbezaan itu boleh diselesaikan melalui dialog dan perbincangan. Terdapat penyelesaian damai dan kita perlu menggunakannya.
"Kita tidak boleh membiarkan negara-negara kuasa besar dan memberikan mereka kepuasan dengan melihat kita berpecah.
"Ini akan menguatkan mereka untuk meneruskan cara perang dan penindasan mereka. Dan itulah yang membawa kita kepada siapa kita sekarang," kata Dr Mahathir.
Jelas Dr Mahathir, NAM yang 'dikenalinya' sebelum ini adalah sebuah pergerakan yang berpegang teguh kepada pendirian.
"Kita bersuara dengan berani dan lantang mengenai menghormati kesaksamaan kedaulatan, integriti wilayah dan kebebasan negara.
"Kita mempertahankan prinsip keadilan dan undang-undang antarabangsa. Kita tidak mempersoalkan hak masing-masing. Kita berpegang kepada ini dan bekerja bersama-sama. Malangnya, ini tidak lagi berlaku," ujarnya.
Justeru itu, Dr Mahathir mengulangi pendiriannya agar 10 Prinsip yang terkandung diambil sempena Persidangan Bandung 1955 perlu sentiasa dipertahankan.
Prinsip Bandung dijadikan sebagai landasan kepada pergerakan NAM, yang antaranya memperjuangkan rasa hormat terhadap kedaulatan dan intergriti semua negara.
#Mahathir Mohamad
#NAM
#NAM mesti bersatu
#Perdana Menteri
#Pergerakan Negara-Negara Berkecuali
#Persidangan Bandung