Negara anggota JIT memperingati ulang tahun ke-7 nahas MH17
Azyyati Ahmad
Julai 17, 2021 10:01 MYT
Julai 17, 2021 10:01 MYT
PUTRAJAYA: Pasukan penyiasat bersama (JIT) MH17 merangkumi lima negara umum kekal komited mencari keadilan, kebenaran dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Kelima-lima negara juga yakin dengan perjalanan proses pendakwaan yang bebas, terbuka dan tidak berpihak.
Kenyataan ini dikeluarkan Menteri Luar negara anggota JIT sempena ulang tahun ketujuh insiden pesawat MH17 ditembak jatuh di Ukraine.
Selain Malaysia, JIT dianggotai Australia, Belgium, Belanda dan Ukraine.
Kenyataan itu menghargai usaha agensi penyiasatan dan mengulangi sokongan penuh terhadap mereka untuk mencari kebenaran terhadap apa yang berlaku.
Penerbangan Malaysia Airlines MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di Timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
Insiden berkenaan mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapal.
Sebelum ini pasukan penyiasat antarabangsa merumuskan pada Mei 2018 bahawa pelancar peluru berpandu yang digunakan dalam serangan berkenaan adalah milik brigad peluru berpandu anti-pesawat rusia ke-53.
Perbicaraan secara rasmi bermula Mac 2020 tetapi hanya pada peringkat hujahan membabitkan penerimaan bukti berkaitan nahas.
Empat individu dituduh berkaitan nahas tersebut.
Mereka terdiri daripada bekas kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB), Igor Girkin; Bekas Pegawai Agensi Perisikan Tentera Rusia (GRU), Sergey Dubinskiy dan Bekas Pegawai Tentera Spetznaz-GRU, Oleg Pulatov; serta seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko.