Negara anggota FPDA perkukuh kerjasama tangani ancaman keselamatan - Hishammuddin

Astro Awani
Oktober 21, 2021 18:44 MYT
Hishammuddin pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan FDMM ke-11 dan Sambutan Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) ke-50 hari ini. - Foto FDPA
KUALA LUMPUR: Menteri-menteri pertahanan dari lima negara anggota Pengaturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) menyatakan komitmen mereka untuk mencapai lima fokus utama dalam meningkatkan lagi hubungan kerjasama keselamatan serantau bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerjasama antara lima negara FPDA akan memberi fokus kepada peperangan kelas atasan dengan pengenalan kepada aset generasi ke-5, meningkatkan misi menangani keganasan dan keselamatan maritim domain bukan tradisional.
Dua lagi fokus adalah untuk meningkatkan keselamatan siber secara berperingkat dan meneruskan program pemerhati sebagai ketelusan dan jaminan dengan rakan serantau.
"Semasa mesyuarat hari ini, pemimpin-pemimpin lima negara anggota menyatakan komitmen berterusan ke atas lima tumpuan yang digariskan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri Pertahanan FPDA ke-11 (FDMM) dan sambutan Ulang Tahun FPDA ke-50 di sini, pada Khamis.
[TERKINI] Sidang media Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA)
Sidang media turut dihadiri secara maya oleh Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen; Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton; Menteri Pertahanan New Zealand, Peeni Henare dan Menteri Angkatan Bersenjata UK, James Heappey.
Kesemua lima anggota FPDA turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang juga dilakukan secara maya sebagai kesinambungan kepada persepakatan dalam kerjasama keselamatan serantau
Kali ini, Malaysia diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri Pertahanan FPDA ke-11 (FDMM) dan sambutan Ulang Tahun FPDA ke-50.
Dalam pada itu, Hishammuddin memaklumkan, mendepani strategik FPDA, proses, struktur organisasi dan rancangan masa depan, perkara itu akan menggunapakai prinsip 3R iaitu Remit, Relevant dan Reassurance.
#FPDA #Hishammuddin Hussein #Kementerian Pertahanan #menteri-menteri pertahanan
;