Negara anggota ASEAN perlu terus usaha hubung rangkaian kereta api - Loke

Bernama
Jun 11, 2024 23:00 MYT
Loke berkata kesalinghubungan, terutamanya untuk menghubungkan rangkaian kereta api dari Semenanjung Malaysia ke Thailand, Laos dan China, telah lama menjadi visi jangka panjang ASEAN. - Gambar fail/ Astro AWANI/Shahir Omar
GEORGE TOWN: Negara anggota ASEAN perlu terus berusaha untuk meningkatkan integrasi dengan menghubungkan rangkaian kereta api bagi mencapai aliran bebas barangan yang lebih luas di rantau ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata kesalinghubungan, terutamanya untuk menghubungkan rangkaian kereta api dari Semenanjung Malaysia ke Thailand, Laos dan China, telah lama menjadi visi jangka panjang ASEAN.
"Jika kita dapat mencapai (visi ini), kita dapat merealisasikan rangkaian kereta api Pan-Asia kerana apabila sampai ke Kunming, kita boleh sampai ke Asia Tengah dan juga Eropah. Kita telah bercakap tentang hal ini sejak 30 tahun lepas.
"Tidak banyak perkembangan berhubung rangkaian kereta api Kunming-Singapura walaupun sudah ada laluan kereta api yang menghubungkan negara-negara ini. Namun, terdapat tempat-tempat yang tidak terhubung," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Pengangkutan Kanan ASEAN (STOM) ke-57 di sini hari ini.
Selain laluan fizikal kereta api, beliau berkata negara anggota juga perlu menyelesaikan isu-isu mengenai peraturan dan pelepasan kastam rentas sempadan bagi membolehkan perjalanan yang lancar untuk barangan dan penumpang di rantau ini.
Loke berkata Malaysia sedang menjalankan kajian keboleksanaan awal terhadap projek Kereta Api Trans-Borneo untuk melihat kelebihan dan keburukan dari segi komersil, teknikal dan aspek lain cadangan rangkaian itu bagi melengkapkan rangkaian pengangkutan sedia ada di Borneo.
"Kajian keboleksanaan itu akan siap dalam sembilan bulan dan sebaik sahaja selesai, kami akan putuskan langkah seterusnya," katanya.
STOM ASEAN ke-57 yang berlangsung tiga hari bermula hari ini, dihadiri delegasi diketuai setiausaha agung/setiausaha tetap dari negara anggota ASEAN dan rakan dialog ASEAN, iaitu China, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
Terdahulu, dalam ucapannya, Loke berkata STOM telah menjadi platform penting dan efektif untuk negara anggota ASEAN membincangkan perkara berkaitan cabaran dan peluang unik dalam sektor pengangkutan di rantau ini.
"Sejak penganjuran STOM dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) oleh Malaysia pada 2015, kita telah menyaksikan usaha luar biasa oleh Badan Pengangkutan ASEAN dalam melaksanakan pelbagai inisiatif seperti digariskan dalam Pelan Tindakan Strategik Pengangkutan Kuala Lumpur (KLTSP) 2016-2025.
"Perbincangan di bawah STOM juga konsisten dengan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN (MPAC) 2025 dalam mewujudkan rangkaian serantau melibatkan individu dan infrastruktur, bagi menambah baik cara kita menjalani kehidupan, bekerja dan melakukan perjalanan," tambahnya.
-- BERNAMA
#ASEAN #MPAC #rangkaian serantau #pelbagai inisiatif
;