Negara akan terus ditadbir dengan baik melalui komitmen penjawat awam - KSN

Afiezy Azaman
Ogos 17, 2021 11:57 MYT
Tan Sri Mohd Zuki Ali mempengerusikan Mesyuarat Khas Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan secara maya, pada Selasa.
KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara (KSN) memberi jaminan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tidak terjejas susulan peletakan jawatan Perdana Menteri dan jemaah kabinet.
Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan secara maya, hari ini.
"Setiap kementerian dan agensi terus memberikan tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi dan mempergiat pelaksanaan dasar-dasar sedia ada demi kelangsungan hidup rakyat dan Negara.
"Insya-Allah, negara kita akan terus ditadbir dengan baik melalui komitmen tidak berbelah bahagi para penjawat awam dari semua sektor, baik keselamatan, pertahanan, kesihatan, ekonomi, pendidikan dan sebagainya," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Zuki menyatakan, seluruh kepimpinan perkhidmatan awam akan terus bekerja sehabis baik memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat diutamakan dalam situasi mencabar kini.
Pada Isnin, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 pada satu sidang media di pejabatnya di Putrajaya, yang turut disiarkan secara langsung di pelbagai platform telekomunikasi, termasuk televisyen dan media sosial.
Muhyiddin berkata, keputusan dibuat selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya tidak mendapat sokongan parti politik.
Sumber Facebook TanSriDatoSeriZukiAli
#ketua setiausaha negara #Tan Sri Mohd Zuki Ali #perkhidmatan kerajaan #ekonomi #pelaksanaan dasar #hidup rakyat #Klinik kesihatan #penjawat awam #pendidikan #Perdana Menteri #Parlimen
;