Negara akan hilang 70 peratus tenaga mahir jika lepasan SPM tidak sambung pengajian

Irfan Faruqi
Jun 9, 2023 22:47 MYT
Jazlie menekankan keperluan untuk lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Sekiranya trend pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menyambung pengajian di peringkat tinggi berterusan, negara akan kehilangan 70 peratus tenaga mahir dalam pasaran.
Pengarah Strategik Forward Malaysia Research Centre, Muhammad Jazlie Jabarudin berkata, jangkaan tersebut berdasarkan kepada laporan 48 peratus lepasan SPM 2021 yang tidak melanjutkan pengajian pada tahun lalu.
“Pendaftaran masuk pelajar dalam kedua-dua bidang; STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan Kemahiran, ini menurun pada kadar yang signifikan. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjangkakan jika trend ini berterusan, ia akan mengakibatkan 40 peratus daripada lepasan SPM ini tidak akan sambung pengajian dan kita akan hilang 70 peratus daripada pekerja berkemahiran.
“Kita harus tahu bahawa kita sedang berusaha untuk menjadi negara maju. Tanpa tenaga kerja berkemahiran tinggi ini, kita tidak akan dapat mencapai sasaran tersebut,” katanya dalam program Dialog Anak Muda terbitan Astro AWANI.
Oleh yang demikian, Jazlie menekankan keperluan untuk lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Meskipun begitu, mereka masih mempunyai pilihan sama ada untuk menjurus kepada aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) atau Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Berbeza dengan pandangan Hasnul (Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), tetamu Dialog Anak Muda) yang menyatakan kita harus berikan ruang mereka (lepasan SPM) untuk memilih, saya setuju dalam soal pilihan individu ini, tetapi tidak bermakna kita tidak perlu sambung belajar.
“Sambung pengajian adalah suatu keperluan. Di pihak kerajaan, dasar juga perlu beradaptasi dengan keperluan semasa. Kita tidak boleh lagi bergantung kepada kaedah konvensional seperti masuk kelas atau tempoh pengajian tiga tahun,” katanya lagi.
#Dialog Anak Muda #SPM #STEM #TVET #kesukarelawanan
;