Neelofa selesai beri keterangan tidak pakai pelitup muka
Shuhada Abdul Kadir
Mei 24, 2021 13:13 MYT
Mei 24, 2021 13:13 MYT
SEREMBAN: Polis Seremban hari ini merakam kenyataan usahawan dan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor berhubung dakwaan mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban minggu lalu.
Ketua polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kenyataan itu selesai dirakam kira-kira jam 11.30 pagi tadi selepas Neelofa, 32 tahun, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bersama suaminya ,Muhammad Haris Mohd Ismail atau turut dikenali dengan panggilan PU Riz.
Beliau dalam kenyataanya berkata, pihak polis telah memanggil selebriti itu untuk diambil keterangan sebelum hadir kira-kira jam 10.10 pagi bersama suaminya dan dua orang peguam.
Jumaat lalu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim memaklumkan, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap selebriti Neelofa, yang didakwa mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban pada Khamis.
Katanya, keterangan diambil bermula jam lebih kurang 10.20 pagi dan selesai pada jam kira-kira 11.30 pagi. Astro AWANI difahamkan Neelofa memberikan kerjasama yang baik dan mematuhi proseder operasi standard (SOP) sepanjang proses siasatan dijalankan.
"Kami telah beri kerjasama sepenuhnya dengan pihak polis ... terima kasih," kata Neelofa ringkas, ketika disapa pihak media
Menurut Mohd Said, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Terdahulu pada 21 mei lalu, polis membuka kertas siasatan terhadap Neelofa yang mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka.
Mohd Said berkata, kertas siasatan dibuka susulan berita di laman sesawang sebuah portal yang tular memaparkan Neelofa tidak memakai pelitup muka ketika hadir ke Mahkamah Majistret Seremban, Khamis lalu.
Ujarnya, penjelasan berhubung SOP itu juga dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam mulai 1 Ogos 2020.
#Neelofa
#pelitup muka
#langgar SOP
#Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban
#Muhammad Haris Mohd Ismail
#PU Riz
#Mohd Said Ibrahim