Neelofa, PU Riz dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini

Astro Awani
Mei 19, 2021 21:10 MYT
Pasangan itu dijangka akan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan melanggar SOP ketika merentas negeri ke Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai dekat sini untuk membeli karpet. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail (PU Riz) dijangka akan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, pada Khamis atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) ketika merentas negeri sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, berkata kertas siasatan kes perlanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kedua-dua mereka telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan dikembalikan pada Rabu.
"Keputusan adalah kedua-dua mereka dituduh di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4)(Pindaan)(No.12) 2021.
"Kedua-dua mereka akan dituduh di Mahkamah Majistret Seremban pada 20 Mei 2021 (Khamis)," katanya dalam satu kenyataan malam Rabu.
BACA: Kertas siasatan kes Neelofa rentas negeri beli karpet di peringkat akhir - Polis
BACA: Kertas siasatan Neelofa dan suami dihantar ke pejabat Peguam Negara
Mengulas lanjut, beliau berkata Neelofa dan suaminya akan didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi SOP PKPB apabila gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual ketika masuk ke premis.
Suaminya, akan dituduh atas satu lagi pertuduhan iaitu tidak memakai pelitup muka di tempat awam seperti ditetapkan dalam SOP PKPB.
Katanya, hukuman bagi setiap pertuduhan adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, media melaporkan polis telah melengkapkan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan berkaitan selebriti itu dan suaminya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Isu pelanggaran SOP PKPB pasangan itu tular di media sosial, apabila Neelofa dikatakan memuat naik gambar dan video berada di sebuah kedai karpet di Nilai pada 2 Mei dan keterangan mereka telah diambil selama empat jam di Ibu Pejabat Daerah Polis Nilai dua hari selepas itu.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim memaklumkan kertas siasatan berhubung pelanggaran SOP melibatkan Noor Neelofa serta keluarganya telah lengkap dan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat.
Katanya Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields membuka kertas siasatan di bawah Peraturan 17 P. U. (A) 225/21 bagi membolehkan siasatan rapi dijalankan.
"Sebarang aktiviti ziarah raya di seluruh negara (sepanjang PKP) adalah tidak dibenarkan sebagaimana yang telah diputuskan oleh kerajaan.
"Jika terdapat sebarang maklumat berkaitan pelanggaran SOP, orang ramai diminta menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya dalam kenyataan Rabu malam.
#Neelofa #PU Riz #Muhammad Haris Mohd Ismail #Mahkamah Majistret #SOP #Negeri Sembilan #rentas negeri #Kuala Lumpur #kertas siasatan
;