Neelofa, PU Riz akan dipanggil polis sebaik sahaja pulang dari Langkawi - KPN
Abd Hadi Che Awang
April 4, 2021 14:47 MYT
April 4, 2021 14:47 MYT
LANGKAWI: Pasangan selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor dan suami Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz akan dipanggil pihak polis sebaik sahaja tiba dari Pulau Langkawi bagi proses merekodkan keterangan susulan dakwaan wujudnya pelanggaran terhadap kebenaran rentas negeri yang diberikan kepada pasangan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menjelaskan tindakan itu akan dibuat selepas pihaknya telah melakukan penelitian terutama daripada video dan gambar yang dimuat naik di akaun media sosial pasangan berkenaan yang turut didakwa sedang 'berbulan madu' di pulau peranginan itu.
"Pegawai penyiasat akan tanya dia (Neelofa dan PU Riz) apa dia buat di situ (Langkawi), adakah itu sebahagian daripada kegiatan perniagaan dia.
"Itu (video dan gambar yang dimuat naik) macam santai-santai sahaja, jadi (itu memang) tidak boleh kerana dia datang daripada negeri (yang dikuatkuasakan) PKPB (dan) datang ke kawasan (yang dilaksanakan) PKPP, dia (mereka berdua) tidak boleh langgar (kebenaran yang diberikan pihak polis),
"Kita akan sentiasa seboleh-bolehnya nak cepat (dalam siasatan kes melibatkan orang kenamaan atau selebriti), (sekarang ini polis) tunggu dia balik (dari Langkawi) dan kita akan tanya dia. Selepas itu baru kita tentukan (hukuman, jika didapati bersalah), terpulang kepada pegawai yang diberi kuasa hendak kenakan denda RM10,000 (atau nilai yang lain)," ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, beliau sekali lagi menegaskan bahawa pihak polis sentiasa berlaku adil terutama dalam melakukan siasatan melibatkan kesalahan membabitkan pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) tanpa mengira status yang ada pada individu terbabit.
Menurutnya, polis sememangnya memiliki SOP tersendiri dalam melakukan siasatan iaitu membuka kertas siasatan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan susulan dapat diambil selepas itu.
"Memang begitu keadaannya (semasa kejadian) yang dikatakan kes 'rakyat marhaen' tadi. Kes tu berlaku di lapangan bersama dengan pegawai yang menahan dia kerana dia melakukan kesalahan melanggar SOP, dalam kes VVIP kebanyakannya kita dapat tahu kemudian, bukannya ketika (kejadian) itu.
"Dalam kes sebegini, wajarnya SOP (atau tindakan yang diambil) polis adalah membuka siasatan (sebelum) dia akan dipanggil, (seterusnya polis akan) rakamkan kenyataan dan dia akan menjawab mengikut gambar atau video yang viral.
"(Sebagai contoh pihak berkenaan) kata, 'kami datang sini untuk urusan perniagaan tetapi berhibur', (itu salah satu) contoh, maka dia kena jawab.
"Itu dia punya SOP (atau tidakan yang diambil polis. Bukan kami sengaja nak orang di bawah dikenakan kompaun serta-merta tetapi VVIP sengaja dilewatkan, tidak (benar sama sekali). SOPnya begitu," ujarnya.
Abdul Hamid berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Seksyen K9 Bahagian Bantuan Teknik D6 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM di Langkawi pada Ahad.
Terdahulu, dalam hantaran di IG Story pada Khamis, Neelofa memberi bayangan bahawa kunjungannya ke pulau percutian itu bersama suaminya, Haris Ismail atau PU Riz adalah atas urusan perniagaan.
Penjelasan itu dibuat Neelofa selepas seluruh masyarakat membincangkan kontroversi perjalanannya merentas negeri menuju ke Pulau Langkawi.
Sebelum itu, sebuah syarikat pembekal makanan dan minuman popular, Chatime menjelaskan bahawa pengacara serta usahawan itu dan suaminya sedang melakukan lawatan kerja ke tiga lokasi di zon utara iaitu Sungai Petani dan Langkawi, Kedah dan Kangar, Perlis bagi tujuan pembukaan cawangan baharu.
#Neelofa
#PU Riz
#Haris Ismail
#SOP
#COVID-19
#pandemik
#KPN
#Abdul Hamid Bador
#Langkawi
#perniagaan
#keterangan