Neelofa okey, patuh arahan mahkamah - Peguam
Ridauddin Daud
Mei 20, 2021 11:18 MYT
Mei 20, 2021 11:18 MYT
SEREMBAN: "Neelofa okey saja. Kita kena patuh arahan mahkamah."
Demikian kata peguam kepada selebriti Noor Neelofa Mohd Noor, Haresh Mahadevan ketika mengulas pertuduhan melibatkan anak guamnya yang didakwa ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Dalam pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mahyun Yusof di Mahkamah Majistret Seremban pada Khamis, Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Ismail mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dikenakan kepada mereka.
Majistret menetapkan 4 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Muhammad Haris berdepan dua pertuduhan dan dikenakan ikat jamin RM10,000 manakala Neelofa yang berdepan satu pertuduhan pula dikenakan ikat jamin RM5,000.
Pihak pendakwaan sebelum itu memohon jaminan RM20,000 dikenakan kepada kedua-dua tertuduh.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengapa tiada pendakwaan melibatkan rentas negeri, Haresh mengakui tidak tahu mengenai perkara itu.
"Tak tahu kenapa tiada pertuduhan rentas negeri.
"Hari ini tiada isu rentas negeri, tidak dibangkitkan. Hanya pertuduhan pada hari ini disebut," katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah.
Isu pelanggaran SOP PKPB pasangan itu tular di media sosial apabila Neelofa dikatakan memuat naik gambar dan video berada di sebuah kedai karpet di Nilai pada 2 Mei lalu.
Neelofa dan suaminya didakwa setelah gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual ketika masuk ke premis berkenaan.
Muhammad Haris didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu tidak memakai pelitup muka di tempat awam seperti ditetapkan dalam SOP PKPB.
#Noor Neelofa Mohd Noor
#Muhammad Haris Ismail
#PU Riz
#Mahyun Yusof
#Haresh Mahadevan
#M Haresh
#PKPB
#rentas negeri
#Mahkamah Majistret
#perintah kawalan pergerakan