Neelofa beri bantuan COVID-19 berjumlah ratusan ribu ringgit, Hospital Melaka jadi penerima sumbangan pertama
Kenyataan Media
Jun 11, 2021 19:27 MYT
Jun 11, 2021 19:27 MYT
USAHAWAN popular, Neelofa mengambil inisiatif membantu entiti barisan hadapan dengan memberikan sumbangan berupa kelengkapan katil untuk Hospital Melaka yang bernilai hampir RM100,000.
Pemberian tersebut merupakan antara sumbangan pertama yang diusahakan sendiri oleh Neelofa atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap peningkatan kes COVID-19 serta kekurangan katil di hospital-hospital utama.
“Rasa terpanggil untuk beri bantuan terutama apabila melihat keadaan hospital yang semakin sesak kerana terpaksa menampung jumlah pesakit COVID-19 yang banyak.
“Jadi saya ingin memainkan peranan untuk membantu komuniti dan rakyat Malaysia, sekali gus cuba untuk menangani pandemik ini. Saya harap dengan sumbangan yang kecil dan tidak seberapa ini dapat melancarkan proses pemulihan pesakit-pesakit COVID-19,” ujar Neelofa.
Selain Hospital Melaka, Neelofa turut merancang untuk memberikan sumbangan kepada beberapa lagi hospital utama di seluruh Malaysia.
“Insya-Allah, kita akan cuba sebaik mungkin untuk membantu sebanyak mana hospital yang boleh,” katanya lagi.
Neelofa juga berharap agar sumbangannya itu dapat memberi kemudahan kepada entiti barisan hadapan, khususnya dalam menangani situasi lockdown yang sedang ditempuh oleh seluruh rakyat Malaysia.
Selain itu, Neelofa turut ingin membantu mereka yang terjejas akibat pandemik. Justeru, Neelofa menyarankan kepada sesiapa yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pertubuhan Kasih Neelofa menerusi media sosial rasmi pertubuhan itu atau juga boleh secara langsung melalui media sosial Neelofa.