NCWO sambut baik rangka kerja dasar untuk Ekonomi Madani
Astro Awani
Julai 27, 2023 22:03 MYT
Julai 27, 2023 22:03 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) bertekad akan menggunakan pendekatan menyeluruh untuk menggalakkan pertumbuhan Ekonomi Peduli.
Presiden NCWO Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin menjelaskan, pertumbuhan Ekonomi Peduli berpotensi menarik pelaburan, mewujudkan pekerjaan, terutamanya untuk B40, wanita dan belia.
Menurut beliau, ia juga dapat mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah, meningkatkan produktiviti dan keseimbangan kehidupan kerja serta mengekalkan wanita dalam tenaga kerja.
Dalam satu kenyataan, Dr Sharifah Hapsah menjelaskan NCWO mengalu-alukan rangka kerja dasar untuk Ekonomi Madani yang digariskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Perundingan merentas sektor dan pelbagai peringkat telah memberi semangat kepada rangka kerja dengan tumpuan yang kukuh terhadap kesejahteraan rakyat sambil menggalakkan ekonomi yang berdaya saing.
"NCWO berbesar hati dengan penekanan pada Ekonomi Penjagaan dan aspek perlindungan sosial yang akan membantu dalam mengurangkan beban penjagaan tidak bergaji yang terlalu banyak ditanggung oleh wanita dan selalunya sebab mereka tidak kekal dalam tenaga buruh," katanya.
Pada Khamis, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat sebagai kerangka ekonomi baharu Malaysia bagi mengangkat semula darjat dan martabat negara.
Perdana Menteri berkata, kerangka itu akan menstruktur semula ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara, sekali gus memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan lebih bermutu.
#NCWO
#ekonomi madani
#Membangun Malaysia Madani
#Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin
#Anwar Ibrahim
#Perdana Menteri