NCIA bantu pekerja Silverstone yang akan diberhentikan
Abd Razak Mohd Ali
Mac 2, 2021 05:42 MYT
Mac 2, 2021 05:42 MYT
TAIPING: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mengambil inisiatif mendaftar dan menemu ramah pekerja Silverstone Malaysia Bhd yang akan diberhentikan hujung Jun ini.
NCIA mengadakan program berbentuk modal insan itu bagi membantu pekerja berkenaan mendapat peluang pekerjaan dan memberi nafas baharu dalam kehidupan mereka.
Satu pameran pekerjaan dianjurkan NCIA bersama Silverstone, kerajaan negeri Perak dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) di premis kilang itu di Kamunting, di sini, pada Ahad.
Ia bagi membantu lebih 700 pekerja yang bakal hilang pekerjaan susulan Silverstone menamatkan operasi pengeluaran tayar pada Jun.
“Mereka akan dipadankan dengan 20,000 pekerjaan yang akan dihasilkan dari pelbagai program modal insan bersepadu NCIA seperti JomKerja@NCER, JomNiaga@NCER dan NCER Talent Enhancement Programme (NTEP),” kata NCIA dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud di dalam ucapannya pada program itu berkata, kerajaan negeri amat prihatin dengan statistik peningkatan kehilangan pekerja di negeri ini.
“Program modal insan seperti yang dianjurkan oleh Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dapat membantu mengurangkan kesannya.
“Saya harap program-program ini akan terus memberi sinar baru kepada mereka yang terjejas sehingga keadaan bertambah baik,” ujarnya.
Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John pula berkata, program modal insan bersepadu NCIA mencerminkan pendekatan holistik dalam menangani masalah pengangguran dan membantu mereka yang terjejas dalam tempoh yang mencabar ini.
“Program-program ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan melalui Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA),” katanya.
Pengurus Besar, Sumber Manusia Silverstone Bhd, Gordon Jude Seneviratne pula berkata, pihaknya menghargai usaha bersama yang diberikan oleh kerajaan negeri, PASAK dan NCIA untuk membantu kakitangan kami mendapatkan peluang pekerjaan baru.
“Wabak ini telah memberi impak yang besar terhadap perniagaan kami," ujarnya.
#Silverstone
#NCIA
#Pekerja
#kehilangan pekerjaan
#diberhentikan
#program modal insan
#ekonomi
#Taiping
#operasi
#henti operasi
#NCER
#kilang tayar
#peluang pekerjaan