NC4 beri amaran ancaman serangan siber terhadap pengguna Apple
Firdaus Azil
April 12, 2024 18:58 MYT
April 12, 2024 18:58 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diingatkan untuk terus berjaga-jaga susulan wujudnya perisian pengintip sofistikated yang menyasarkan pengguna peralatan Apple melalui Apple ID mereka.
Pusat Koordinasi dan Bilik Kawalan Siber Nasional (NC4) dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, kesan pencerobohan itu akan membawa kepada pencurian informasi serta kerugian kewangan.
Menurut kenyataan itu, ancaman itu yang antara lain menyasarkan individu seperti wartawan, diplomat, aktivis dan ahli politik, dan semua pengguna diingatkan untuk meningkatkan keselamatan siber bagi mengurangkan risiko peralatan Apple mereka diceroboh.
“Apple baru-baru ini telah mengeluarkan amaran di peringkat global susulan peningkatan serangan perisian pengintip, termasuk peralatan seperti Pegasus daripada Kumpulan NSO. Serangan ini memerlukan tahap kecanggihan yang jauh melebihi kemampuan aktiviti jenayah siber dan perisian hasad komoditi yang lazim.
“Penyerang yang menggunakan perisian pengintip akan menumpukan sumber mereka dengan meneliti sasaran yang ditetapkan. Amaran ini yang wujud ketika mana banyak negara sedang bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya, menekankan kepentingan pengukuhan langkah berjaga-jaga,” menurut kenyataan itu lagi.
NC4 berkata, serangan perisian pengintip terus menjadi isu di peringkat global, dengan sasaran mereka termasuklah wartawan, aktivis, ahli politik serta golongan diplomat.
Serangan seperti itu, kata NC4 lagi, dianggap antara ancaman digital paling maju dalam era ketika ini, susulan kos yang tinggi, persekitaran yang sofistikated serta kemampuan memberi kesan di peringkat global.
Pusat itu berkata, serangan itu mampu menyebabkan kerugian kewangan yang signifikan, serta mewujudkan cabaran ancaman yang menggerunkan daripada sudut pengesanan dan pencegahan.
“Bagaimanapun, kerana tahap kerumitan serangan, majoriti pengguna Apple tidak akan menjadi sasaran mereka, kerana mereka lebih menumpukan kepada objektif yang spesifik, dengan sasaran bernilai tinggi, konteks geopolitik, serta pengintipan korporat, serta memerlukan sumber yang signifikan untuk melaksanakan serangan itu,” menurut kenyataan itu lagi.
Justeru NC4 berkata, rakyat Malaysia dinasihat untuk melaksanakan langkah pencegahan seperti melakukan proses kemas kini perisian, melindungi peralatan dengan kod laluan, hanya memuat turun perisian dari stor Apple, dan elakkan diri daripada klik lampiran atau pautan yang mencurigakan.