NBOS program terbaik di dunia - TPM Ahmad Zahid

Bernama
November 19, 2017 13:16 MYT
AHMAD ZAHID berkata program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) adalah yang terbaik seumpamanya di dunia. - Gambar Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) adalah yang terbaik seumpamanya di dunia.
Beliau berkata menerusi NBOS, pelbagai program dan inisiatif boleh diadakan dengan menekankan kepada tiga elemen iaitu impak yang tinggi, kos penganjuran rendah serta pelaksanaan segera.
"Tidak ada satu program sebaik NBOS di mana-mana di dunia ini. Kita sangat berterima kasih dan teruja dengan pelbagai inisiatif baharu yang dilaksanakan menerusi NBOS," katanya.
Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk berkata demikian ketika merasmikan Fiesta NBOS Sayang Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang di sini.
Program yang memasuki fasa kedua itu dianjurkan oleh Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Timbalan Perdana Menteri berkata NBOS boleh memainkan peranan untuk membangunkan kawasan atau daerah baharu seperti Bagan Datuk yang diisytihar sebagai daerah ke-12 di Perak pada Januari lalu.
"Tiga elemen yang diterapkan dalam NBOS penting kerana kita ingin menjadi negara maju harus melaksanakan dengan kemas semua dasar program yang dirancang termasuk dengan segera dan kos rendah," katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid mengajak orang ramai supaya jangan hanya meletakkan diri di dalam kotak, sebaliknya perlu melihat di luar kotak atau tanpa kotak dengan objektif positif.
"Ada sesetengah yang memandang setiap transformasi dengan sinis, mereka ada persepsi negatif dan meremehkan setiap pembaharuan yang ada.
"Rakyat harus lihat, setiap perubahan (yang dilakukan) Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah untuk kepentingan rakyat. Saya yakin, rakyat yang majoriti senyap akan terus bersama kerajaan dan membuktikan mereka menghargai segala transformasi oleh perdana menteri," katanya.
Ahmad Zahid juga memberi jaminan akan terus membawa kemajuan kepada Bagan Datuk dan menjadikan ia satu daripada daerah maju di Perak atau Malaysia.
-- BERNAMA
#Ahmad Zahid Hamidi #Bagan Datuk #Hutan Melintang #Kementerian Kewangan #NBOS #pelancongan #rakyat #sekolah #Timbalan Perdana Menteri #transformasi #Zahid Hamidi
;