NBOS: Pemimpin muda pemacu inovasi capai status negara maju - TPM
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 17, 2016 18:14 MYT
Ogos 17, 2016 18:14 MYT
Pemimpin muda diseru untuk meneruskan usaha inovasi bagi memacu Malaysia sebagai sebuah negara maju.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan cabaran itu lantaran golongan muda merupakan pewaris pemimpin negara.
"Ini terutamanya adalah benar bagi para pemimpin prospektif, yang akan mengambil tampuk kepimpinan negara pada masa depan.
"Atas sebab ini, saya menyeru semua pemimpin muda Malaysia yang bijak pandai agar bangun bagi menyahut cabaran ini," katanya ketika berucap menutup Persidangan Antarabangsa Strategi Lautan Biru (ICBOS) 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Tambah Datuk Seri Ahmad Zahid, pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) berperanan penting bagi memajukan negara ini.
Namun, katanya keadaan itu tidak akan menjadikan kerajaan leka dengan kejayaannya.
Menurut beliau, melalui kreativiti dan inovasi hasil daripada prinsip, kerangka kerja dan perkakasan NBOS, usaha mentransformasikan seluruh negara kini menjadi kenyataan.
"Seluruh negara telah mendapat manfaat daripada usaha yang kami lakukan melalui NBOS dan saya telah lihat perubahan masyarakat di setiap bandar dan desa, hasil daripada lawatan saya ke seluruh negara.
"Saya amat berbangga dengan setiap usaha oleh semua pihak yang menjadikan usaha transformasi ini menjadi kenyataan.
"Kami telah melihat manfaatnya bekerjasama dengan cara ini, dan kami mahu untuk memperluaskan pendekatan ini tentang bagaimana kami melibatkan diri dengan rakan-rakan kami dan seluruh dunia," katanya.
ICBOS yang bertemakan: 'Mentransformasi Negara melalui Kreativiti dan Inovasi' diadakan sempena Minggu Antarabangsa NBOS 2016 yang bermula Ahad lalu dan berakhir hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Persidangan itu memberi tumpuan kepada kreativiti dan inovasi bagi menggubal dan melaksanakan dasar dan inisiatif nasional di samping menampilkan ucap tama, perbincangan panel oleh pemimpin-pemimpin negara, penceramah terkenal dan pakar-pakar di peringkat global dari seluruh dunia.