Nazri: Penutupan Jonker Walk bukanlah 'pembalasan' kepada kaum Cina
Teoh El Sen
Jun 26, 2013 10:08 MYT
Jun 26, 2013 10:08 MYT
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz menolak dakwaan yang mengatakan penutupan pasar Jonker Walk di Melaka adalah bagi ‘menghukum’ pengundi Cina di situ.
Bagaimanapun, menteri kanan itu telah meminta Ketua Menteri Datuk Idris Haron untuk mempertimbangkan langkah tersebut kerana pasar itu dianggap sebagai tarikan pelancong.
“Menghukum mereka? Untuk apa?” balas Nazri apabila ditanya pemberita di Parliamen semalam.
“Saya bukan dari MCA. Saya menteri Umno, jadi saya tiada hal peribadi dengan masyarakat Cina di situ dan seingat saya Ketua Menteri juga dari Umno... dan saya tidak rasa kami mahu menghukum mereka.
“Ia Cuma satu tuduhan yang tidak benar,” kata beliau.
Sebelum penutupan terbaru ini, jalan-jalan di Jonker Walk ditutup pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad petang untuk membolehkan orang ramai mengunjungi pasar tersebut.
“Saya telah bercakap dengan Idris dan beliau memberitahu bahawa sebab penutupan itu adalah kerana terdapat aduan lalulintas,” kata Nazri.
Menurutnya, penutupan itu masih dalam tempoh percubaan.
“Tempoh percubaan ini adalah selama sebulan... dan kita akan lihat adakah langkah itu dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas ,” katanya.
Menurut Nazri lagi, beliau telahpun membuat rayuan kepada Idris kerana pasar itu telah wujud selama 13 tahun dan terkenal di seluruh dunia.
“Tanpa pelancongan, apakah Melaka? Jadi pelancongan perlu diutamakan,” kata beliau yang berharap Ketua Menteri Melaka dapat mempertimbangkan semula keputusan tersebut.
Keputusan kerajaan negeri Melaka untuk menutup Jonker Walk telah disifatkan pembangkang sebagai ‘pembalasan politik’ terhadap pengundi Cina kerana tidak mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.
Isu berkenaan timbul selepas perkara itu didakwa oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kesidang, Chin Choong Seong.
Kelmarin, seramai 100 penjaja di kawasan itu telah mengadakan bantahan menentang keputusan yang dibuat kerajaan negeri itu.