Nazri gesa pelajar di luar negara main peranan sebagai 'Duta'

Bernama
Oktober 30, 2013 11:34 MYT
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berharap pelajar Malaysia di luar negara dapat memainkan peranan penting dalam mempromosikan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014).
Beliau berkata, sebagai 'duta' Malaysia, pelajar perlu lebih aktif untuk mempromosikan produk pelancongan dan tarikan yang terdapat di negara ini.
"Ini adalah misi kami... anda perlu memujuk rakan-rakan untuk melawat Malaysia tahun depan. Kita mesti menyebarluaskan bahawa melawat Malaysia adalah murah dengan layanan yang terbaik," katanya kepada kira-kira 40 pelajar Malaysia semasa sesi dialog, di sini, pada Selasa.
Nazri kini dalam misi mempromosi TMM 2014 ke Turki, Romania dan London sehingga 5 Nov.
Nazri berkata, tahun lepas Malaysia menerima seramai 9,909 pelancong dari Turki dan berharap untuk menarik 10,300 pelancong tahun ini dan 11,000, pada 2014.
Kini terdapat tujuh penerbangan seminggu dari Istanbul ke Kuala Lumpur dengan empat penerbangan Turki Airways dan tiga oleh Malaysia Airlines.
"Saya amat yakin kita akan mendapat menarik lebih ramai pelancong Turki melawat Malaysia, tahun depan," katanya.
Nazri berkata Malaysia menerima ketibaan 25.03 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM60.6 bilion tahun lepas dan dijangka menerima 28 juta pelancong, pada 2014.
Beliau berkata, selain Kuala Lumpur menjadi bandar membeli-belah keempat terbaik di dunia selepas New York, Tokyo dan London dalam kajian rangkaian berita global CNN, Malaysia berada pada ranking ke-10 sebagai destinasi pelancongan paling popular di dunia, menurut Pertubuhan Pelancongan Dunia, Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) dan menduduki tempat ke-14 dalam pendapatan pelancongan antarabangsa iaitu RM60.6 bilion.
"Istanbul merupakan tempat ke-7 destinasi popular di dunia. Kalau dari segi sejarah dan seni bina yang ada di sini, memang kita jauh dari mereka, namun kita mempunyai banyak lagi keunikan yang tidak terdapat di sini yang boleh menarik pelancong Turki dan negara lain untuk datang ke negara kita.
"Kerana itu, kita harus sama-sama mempromosikan Malaysia secara agresif untuk memastikan target kira tercapai," katanya.
#Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz #JelajahAWANI #Pelajar luar negara #pelancongan
;