Nazri gesa lebih ramai warga Kanada lawat Malaysia

Bernama
Oktober 13, 2013 07:00 MYT
Malaysia menerima kedatangan 86,931 pelancong dari Kanada tahun lepas, meningkat 1.1 peratus berbanding 2011, dan merekodkan kunjungan 46,543 pelancong dalam separuh pertama tahun ini, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Beliau berkata Malaysia Airlines (MAS) mengadakan perbincangan dengan Air Canada untuk mewujudkan kerjasama dalam membawa penumpang ke Los Angeles, di mana MAS mengadakan penerbangan terus ke Kuala Lumpur, dan menggesa rakan daripada kalangan pengusaha pelancongan Kanada untuk memperkenalkan lebih banyak atur cara lawatan serta memikat warga Kanada untuk merasai sendiri 'keunikan percutian' yang hanya terdapat di Malaysia.
Nazri berkata pengembara dari Kanada ke Malaysia, bagaimanapun, terpaksa menaiki penerbangan syarikat penerbangan pekongsian yang menawarkan penerbangan sambungan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL, misalnya OneWorld Alliance yang turut dianggotai MAS.
Bercakap pada majlis jamuan malam di sebuah hotel terkemuka di Vancouver pada Sabtu, Nazri berkata Malaysia menerima kedatangan 25 juta pelancong tahun lepas dan menjangkakan ketibaan kira-kira 28 juta pada 2014.
Beliau meraikan tetamu majlis jamuan itu dengan hidangan istimewa Malaysia sambil dihiburkan dengan beberapa persembahan kebudayaan hebat oleh kumpulan penari dari Malaysia.
Nazri memberitahu jemputan ke majlis itu, antaranya Menteri Negara bagi Pelancongan dan Perniagaan Kecil British Columbia Naomi Yamamoto, tentang pelbagai tarikan menarik di Malaysia yang mengandungi kira-kira 1,007 pulau dan tiga tapak warisan semula jadi dunia UNESCO iaitu Taman Kinabalu di Sabah, Gua Mulu di Sarawak dan Lembah Lenggong di Perak.
Tarikan lain termasuk Menara Berkembar Petronas iaitu antara menara tertinggi di dunia; pelbagai budaya dan perayaan; beraneka sajian lazat Malaysia dan syurga beli-belah yang diberi ranking keempat dunia oleh rangkaian berita global CNN, selepas New York, Tokyo dan London, kata Nazri.
"Malaysia adalah syurga penyelam," kata Nazri, dan menambah kepelbagaian kehidupan marin yang menarik, pantai yang indah dan dan kejernihan airnya yang membuatkan penyelam berulang kali datang ke destinasi percutian tropika sepanjang tahun itu.
Beliau berkata beberapa resort yang meraih anugerah menawarkan rawatan spa unik. Beberapa hotel berprestij menawarkan villa persendirian dilengkapi kolam renang dan pelayan. Bagi peminat golf, Malaysia mempunyai lebih 200 padang golf bertaraf dunia di seluruh negara.
Nazri berkata dengan kadar pertukaran asing yang menggalakkan, Malaysia merupakan destinasi percutian yang berbaloi berikutan kos rendah untuk menikmati gaya hidup mewah.
Lebih banyak hotel mewah bertaraf antarabangsa termasuk St. Regis, The Regent, Four Seasons Place KL dan Harrods dijangka mula menerima tetamu masing-masing pada 2014, 2015, 2016 dan 2018, katanya.
Nazri berkata pertandingan 'Know Your Malaysia' menerusi laman Facebook yang menghubungkan warga Kanada kepada wawasan Malaysia dalam platform media sosial merupakan satu lagi cara hebat untuk mendekati penduduk Kanada.
Pertandingan itu dilancarkan semasa sidang akhbar sebelum itu yang penuh sesak dengan anggota media dari Kanada. Nazri juga berkata Malaysia negara yang selamat untuk dikunjungi dan keselamatan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan Malaysia.
Beliau memberi penjelasan berhubung kebimbangan yang disuarakan pelancong Kanada tentang Malaysia sebagai negara dengan sebahagian besar penduduknya beragama Islam dan keselamatan mereka mungkin terjejas.
Naomi, ketika berucap, berkata "Malaysia dan British Columbia memiliki banyak persamaaan dari segi pelancongan dan Malaysia terkenal di dunia kerana layanan mesranya.
"British Columbia bekerjasama dengan kerajaan Kanada dan syarikat penerbangan antarabangsa; lapangan terbang dan kalangan perniagaan dari sekitar Kanada dan seluruh dunia untuk mempromosi laluan udara yang lebih baik ke British Columbia dan negara Asia".
Beliau berkata usaha diteruskan untuk mendapatkan lebih banyak penerbangan terus, sambil membayangkan kemungkinan beliau menyambut Nazri dalam penerbangan terus pertama dari Kuala Lumpur ke Vancouver di masa depan.
#Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz #JelajahAWANI #Menteri Pelancongan dan Kebudayaan
;