Nazri Aziz cadang RUU IPCMC ditarik daripada senarai perbahasan

Fareez Azman
Ogos 11, 2020 16:42 MYT
Datuk Seri Nazri Aziz mencadangkan agar RUU IPCMC ditarik balik daripada senarai perbahasan. - Gambar fail
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz (Padang Rengas - BN) dalam perbahasan di Dewan Rakyat pada Selasa mencadangkan agar Menteri Dalam Negeri menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 daripada dibahaskan.
Dalam ucapannya, Nazri antara lain menegaskan bahawa idea mewujudkan suruhanjaya memantau Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu adalah agenda kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan bukan Perikatan Nasional (PN).
"Saya melihat masih disenaraikan perbahasan nombor tujuh (IPCMC). Saya ke arah meminta kepada Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) menarik balik (pembahasan) rang undang-undang IPCMC kerana ia bukan merupakan agenda kerajaan.
"Ia agenda PH tapi kali ini kerajaan PN. Saya ahli Parlimen UMNO dan BN... dari dulu lagi tidak bersetuju IPCMC," jelas Nazri ketika perbahasan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Ketika berbahas, Nazri menyatakan bahawa kewujudan suruhanjaya itu dilihat satu penganiayaan terhadap pasukan polis meskipun sudah wujud Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.
"Saya kira waktu saya jadi menteri, penekanan adakan IPCMC masih wujud tapi kita tak mahu (bertindak) tidak adil kepada polis. Kalau nak buat satu suruhanjaya khusus, maka kita kena ada satu untuk Jabatan Imigresen Malaysia, Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
"Kalau ini tidak dilakukan maka ia bentuk penganiayaan terhadap polis setelah menjalankan tugas dengan begitu baik," katanya.
Pada Oktober 2019, RUU IPCMC 2019 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk dibincang dengan lebih teliti sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.
Perkara itu diputuskan oleh Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof sebaik diusulkan.
RUU IPCMC 2019 dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai, dan ia bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.
#Barisan Nasional #Dewan Rakyat #Hamzah Zainuddin #IPCMC #Nazri Aziz #Pakatan Harapan #PDRM #Polis Diraja Malaysia #UMNO #undang-undang
;