Nazri Aziz cadang hukuman gantung sampai mati dimansuhkan bagi kesalahan dadah
Umavathi Ramayah
November 10, 2021 18:10 MYT
November 10, 2021 18:10 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mencadangkan Dewan Rakyat untuk memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, setakat Ogos tahun lalu, terdapat 446 warga asing dan 472 rakyat Malaysia di penjara yang sedang menanti pelaksanaan hukuman gantung sampai mati.
"Ada 12 kesalahan yang boleh dihukum mati, namun yang saya minta di sini hanya (mansuhkan hukuman mati) dadah sahaja.
"Selalunya mereka yang terlibat ini adalah keldai yang selalunya datang dari keluarga yang susah, kurang berpendidikan atau orang kampung yang tidak mendapat apa-apa keuntungan, hanya kerana mereka jadi keldai dadah mereka digantung.
"Hari ini kita gantung seorang, akan ada lagi dua atau tiga lain (yang akan muncul)," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Menyentuh mengenai tindakan Perdana Menteri yang mengutuskan surat kepada rakan sejawatannya di Singapura, Lee Hsien Loong, bagi meringankan hukuman ke atas Nagaenthran K Dharmalingam yang dijadualkan akan menjalani hukuman gantung kerana mengedar dadah, Nazri berkata, walaupun Malaysia tidak ada asas moral untuk memohon pengampunan itu, namun atas semangat Keluarga Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berusaha untuk mencari keadilan untuk warganegara Malaysia itu.
"Sukar untuk merayu kepada negara-negara ini untuk tidak menggantung mereka apabila Malaysia juga mempunyai hukuman mati mandatori bagi kesalahan," tambahnya.
Beliau berkata kerajaan sudah mengumumkan moratorium hukuman mati pada 2018 namun baru-baru ini dilihat menarik balik keputusan tersebut pada 2020.
“Macam baru-baru ini seorang (wanita) dihukum mati, walaupun 2018 dulu kita kata moratorium, tetapi pada 2020 kita tarik balik.
“Apa ini, sekejap setuju, kemudian tarik balik. Kita tak mahu persalahkan orang lain. Kita Ahli Parlimen ada kuasa untuk memastikan supaya hukuman mati dalam soal dadah dihentikan,” katanya.
Nazri merujuk kes seorang ibu tunggal yang memiliki sembilan orang anak dijatuhi hukuman mati pada Oktober lalu kerana memiliki 113.9g methamphetamine pada Januari 2018.
Nagaenthran ditahan pada April 2009 dan dijatuhi hukuman mati atas kesalahan membawa masuk 42.72g heroin ke Singapura yang dikenali sebagai antara negara yang memiliki hukuman keras terhadap kesalahan dadah.
Banduan tersebut yang sepatutnya menjalani hukuman gantung sampai mati di Penjara Changi pada Rabu namun ditangguhkan bagi memberi laluan pendengaran rayuan terakhir pembelaannya selain lelaki itu dikenal pasti dijangkiti COVID-19 semalam.