Nazri akan tentang tayangan The New Village' jika ia mengagungkan Komunis
Astro Awani
Ogos 3, 2013 07:07 MYT
Ogos 3, 2013 07:07 MYT
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan , Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz menentang sekeras-kerasnya penayangan filem ‘The New Village’, sekiranya terbukti mengagung-agungkan ideologi Komunis.
Walaupun mengakui belum melihat filem itu, beliau berkata, jika benar seperti didakwa bahawa filem itu terdapat unsur mengagungkan perjuangan komunis, ia tidak sepatutnya ditayangkan.
Beliau berpendapat, terdapat dua sebab mengapa filem yang mengagung-agungkan perjuangan Komunis tidak sepatutnya ditayangkan.
Menurutnya, perjuangan Komunis telah menyebabkan banyak nyawa terkorban dan kumpulan tersebut tidak mempercayai tuhan yang jelas bertentangan dengan salah satu prinsip Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada tuhan.
“Kita mesti lawan mereka ini habis-habisan dan jangan diberikan mereka ini apa jua tempat untuk menunjukkan bahawa kita menghargai kehadiran mereka.
“Mereka mahu menghancurkan negara dan saya tidak ada kompromi dalam hal ini,” kata Nazri semasa sidang media yang diadakan selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Raya Program Ihsan Ramadan dan Aidilfitri bagi Parlimen Padang Rengas.
Dalam pada itu, Nazri memberi amaran kepada pengarah kontroversi Namewee atau Wee Meng Chee supaya tidak membawa budaya Taiwan ke Malaysia.
“Kita kena ingat negara ini negara yang berbilang kaum, ada benda-benda yang sensitif yang tidak difahami oleh negara Barat,” katanya.
Namewee sebelum ini dikatakan mencetuskan kontroversi lagi apabila memuat naik rakaman video membantah penangguhan filem The New Village serta membela tindakan pasangan menghina Islam, Alvin Tan dan Vivian Lee.