Nazri akan bawa isu nama Pantai Sentral ke Kabinet
Teoh El Sen
Januari 20, 2014 18:31 MYT
Januari 20, 2014 18:31 MYT
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz hari ini meluahkan rasa kesalnya terhadap tindakan segelintir rakyat yang menukar nama tempat dengan sesuka hati bagi tujuan komersial.
Merujuk kepada nama baru kepada Kampung Pantai Dalam yang kini juga dipanggil Pantai Sentral, Nazri memberitahu Astro Awani beliau membantah sekeras-kerasnya tindakan mengubah nama penempatan di pinggir Kuala Lumpur itu.
"Saya membantah. Saya menteri kebudayaan dan warisan itu sangat mustahak. Nama tempat mesti dikekalkan dan diingati. Nama itu wujud ada sebabnya. Apa yang saya hendak katakan ialah kalau namanya Pantai biarkan dipanggil Pantai. Kenapa henddak panggil Pantai Sentral?" katanya.
Jelas Nazri, adalah "melampau" untuk mewujudkan satu lagi kawasan dengan nama 'sentral' seperti Pudu Sentral, KL Sentral dan Sentul Sentral.
"Saya fikir rakyat Malaysia ini tidak ada rasa bangga dengan apa yang mereka ada. Mereka suka meniru-niru. Mereka terlalu memikirkan tentang komersial… tidak begitu minta untuk mengekalkan sejarah."
"Saya meluat dengan rakyat Malaysia yang ada sikap seperti itu," katanya kepada wartawan semasa ditemui pada Forum Pelancongan ASEAN 2014 di sini, hari ini.
Nazri menyebutkan Singapura sebagai contoh yang harus jadi teladan.
"Dalam soal warisan, mereka bangga. Mereka ada Hospital Kandang Kerbau, tak ada masalah. Kita menamakan tempat kerana ciri-cirinya.
"Seperti Kuala Lumpur, kita tidak perlu ada nama barat. Namanya lumpur tetapi lihatlah KL hari ini. Tidak ada sesiapa yang merasakan bahawa nama KL itu negatif."
"Apa masalah dengan kita? Kenapa? Kenapa kita perlu menukarnya? Ini semua warisan… (nama itu) sudah ada sejak bertahun-tahun," tegasnya yang jelas nampak kecewa.
Menurut Nazri, beliau akan membawa isu ini kepada Kabinet kerana negara ini tidak boleh dibiarkan untuk hilang identitinya semata-mata untuk tujuan keuntungan.
"Sudah tentu, saya akan (bawa kepada kabinet). Saya sangat bimbang.
"Misalnya, Batang Berjuntai… kenapa (tukar kepada) Bestari? Apakah semua rakyat Malaysia berfikiran kotor? Itu sajakah yang kita nampak, tidak nampak benda lain?"
"Tengok Kota Damansara. Sekarang Damansara sudah jadi macam negeri. Ada begitu banyak Damansara walaupun di luar Damansara. Adakah ini supaya mereka boleh jual rumah?"
"Apa akanjadi dengan Malaysia suatu hari nanti apabila semuanya ditukar? Lama-kelamaan nama-nama itu akan jadi sejarah."
Ditanya apakah kementeriannya boleh melakukan sesuatu untuk menggalakkan apresiasi kepada warisan dan budaya, Nazri menjawab: "Ada yang tidak kena dengan kita. Ada yang tidak kena dengan sistem pendidikan atau apa, saya tidak tahu. Bukan mudah untuk berubah dalam sekelip mata. Ia memerlukan banyak pembetulan. Saya rasa ini masalah jiwa kecil."
Astro Awani semalam melaporkan riuh-rendah di media sosial mengenai nama Pantai Sentral yang digunakan bagi projek pembangunan menggantikan nama tradisi Kampung Pantai Dalam.
Bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff yang mengulas isu itu berkata, kerajaan perlu berunding dengan penduduk setempat sebelum membuat sebarang perubahan nama sesebuah tempat.
Selain Kampung Pantai Dalam yang ditukar menjadi Pantai Sentral, beberapa kawasansekitar juga telah ditukarkan namanya sejak beberapa tahun lalu seperti Kampung Haji Abdullah Hukum yang kini dikenali sebagai KL Eco City dan Kampung Kerinchi yang kini dipanggil Bangsar South.