Nazir Razak kongsi pengalaman lawan kanser prostat
Astro Awani
November 1, 2020 13:57 MYT
November 1, 2020 13:57 MYT
KUALA LUMPUR: Sempena kempen Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki yang disambut setiap November, Datuk Seri Nazir Razak sedia berkongsi tentang pertarungannya setelah berjaya pulih daripada kanser prostat.
Nazir, selaku pemegang amanah Tabung Amanah Kanser Urologi Universiti Malaya (UM) yang diketuai oleh Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman bersama menggerakkan kempen #onlymencan di seluruh negara.
Memetik laporan akhbar The Star, beliau dilaporkan menerima diagnosis kanser prostat pada Oktober 2018 selepas melakukan pemeriksaan kesihatan untuk tujuan insurans.
“Saya berfikir panjang untuk membincangkan pengalaman saya secara terbuka. Saya akhirnya memutuskan bahawa saya harus melakukannya.
“Saya berpandangan langkah ini akan mendorong orang lain untuk turut ikut dengan harapan topik ini tidak lagi menjadi tabu,” kata Nazir dalam laporan akhbar itu.
“Ujian darah saya menunjukkan antigen spesifik prostat (PSA) saya tinggi, jadi doktor berasa khuatir dan menghantar saya untuk Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang menujukkan gambar beberapa tumor," jelas beliau.
Katanya, ujian terakhir mengesahkan terdapat kanser, namun tidak merebak di luar prostat.
Bagaimanapun, hasil biopsi itu juga menunjukkan bahawa skor Gleason peringkat kanser prostat mendapati kanser itu agresif dan berkemungkinan merebak dengan cepat.
“Apabila diberitahu bahawa saya mungkin menghidap kanser berdasarkan PSA dan MRI, itu satu kejutan besar, terutama apabila saya berasa sihat.
“Namun, saya segera membaca dan mendapati kemungkinan untuk mengatasinya masih tinggi, asalkan ia tidak merebak,” tambah Nazir.
Tegas beliau, stigma terhadap kanser prostat perlu diatasi supaya lebih ramai orang, terutama dalam kalangan orang Melayu boleh bercakap secara lebih terbuka berhubung sebarang masalah berkaitan dengan fungsi seksual.
Di Malaysia, lebih 60 peratus kes kanser prostat dikesan pada tahap akhir, berbanding sekitar 20 peratus di Amerika Syarikat dan 25 peratus di Singapura.
#Nazir Razak
#kanser
#kanser prostat
#barah
#universiti malaya
#Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman
#Dr Adeeba
#Tabung Amanah Kanser Urologi
#UM
#kesihatan
#Movember
#onlymencan