Nazif Najib tidak setuju pengharaman vape
Astro Awani
November 6, 2015 20:26 MYT
November 6, 2015 20:26 MYT
Mohd Nazifuddin Najib menyatakan harapan agar industri vape dapat terus berkembang di Malaysia.
Inovasi dan kreativiti yang timbul dari industri ini juga perlu diiktiraf, kata anak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu yang dikongsi di Facebook.
“Yang hebatnya, kebanyakan produk terbaik seperti perisa jus vape datang dari usahawan muda tempatan,” katanya yang juga merupakan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia.
Selain itu, beliau tidak setuju dengan pengharaman vape dan sebaliknya menyuarakan sokongan jika ia dilakukan dengan adab dan tatacara yang betul.
“Kita hanya perlu vape dengan bertanggungjawab dan beretika,” katanya di Facebook.
Beliau juga berkata vape masih kekal sebagai alternatif merokok.
“Ramai juga kenalan saya yang vape, malah ada yang telah berhenti merokok,” katanya.