Naza taja kenderaan rasmi, venue Sukan Sea dan Para ASEAN 2017

Bernama
Julai 25, 2016 14:38 MYT
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata Naza juga menyatakan persetujuan untuk menaja Malaysian International Trade and Exhibition Centre (MITEC) sebagai salah satu daripada tiga venue pertandingan Sukan SEA 2017 nanti. - Filepic
Naza Corporation Holdings Sdn Bhd (Naza) muncul penaja platinum kedua temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2017 apabila setuju menaja 250 kenderaan yang akan menjadi kenderaan rasmi sepanjang temasya itu berlangsung tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata tajaan Naza itu melibatkan sejumlah RM12.5 juta, merangkumi kenderaan terdiri daripada kereta dan van berjenama Peugeot, yang akan menjadi pengangkutan orang kenamaan, ketua kontinjen dan pegawai teknikal.
Katanya, sistem pengangkutan yang efisien akan memberi kelancaran terhadap jadual pertandingan.
"Saya yakin dengan penglibatan Naza, kita dapat menyediakan cukup kenderaan untuk pastikan pengangkutan yang menjadi tulang belakang temasya ini, serta lalu lintas berjalan lancar, ketika berlangsungnya temasya itu nanti," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perjanjian kerjasama dengan Naza di sini hari ini.
Perjanjian kerjasama itu ditandatangi antara Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza SM Nasaruddin SM Nasimuddin dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Lokman Hakim Ali yang mewakili Sekretariat Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (MASOC).
Dalam pada itu, Khairy berkata Naza juga menyatakan persetujuan untuk menaja Malaysian International Trade and Exhibition Centre (MITEC) sebagai salah satu daripada tiga venue pertandingan Sukan SEA 2017 nanti.
"Bagaimanapun, terdapat beberapa komponen yang belum dimuktamadkan dan kita dalam perbincangan dan masih meneliti beberapa perkara," katanya.
Menurut Khairy, MITEC yang terletak di Jalan Duta itu dijangka siap pada akhir tahun ini dan mungkin beberapa acara sukan serta dijadikan pusat media rasmi berikutan ruang yang lebih luas berbanding venue yang dicadangkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum ini.
Naza, sebuah syarikat permotoran pernah menaja Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Kejohanan Skuasy Wanita Dunia, Terbuka Australia KIA dan KIA Euro 2016.
Terdahulu dalam ucapannya, Khairy berkata adalah menjadi harapan agar trend penglibatan pihak korporat dalam sukan berterusan dan sumbangan yang lebih besar dapat disalurkan pada masa hadapan.
"Industri sukan semakin berkembang dengan pesat. Saya gembira kerana kesedaran untuk menggunakan sukan sebagai platform memperkenalkan jenama barangan dan perkhidmatan semakin diakui oleh syarikat tempatan," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi MASOC berkata dengan penyertaan Naza kali ini, ia dapat membantu Jawatankuasa Kecil Pengangkutan dalam memastikan kualiti pengurusan pengangkutan dapat dilakukan dengan baik dari Sukan SEA sebelum ini.
Sukan SEA akan berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos melibatkan 38 sukan dan 405 acara manakala Sukan Para ASEAN pada 17 hingga 24 Sept membabitkan 16 sukan serta 400 acara yang akan dipertandingkan.
Tiga venue utama temasya terbesar di Asia Tenggara itu adalah Kompleks Sukan Bukit Jalil, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan MITEC.
#Khairy Jamaluddin #Naza Corporation Holdings Sdn Bhd #penaja platinum kedua #Sukan Para ASEAN 2017 #Sukan SEA
;