Nawal Salleh dilantik Pengarah Lembaga Peperiksaan baharu
Wan Syamsul Amly
Mac 12, 2015 18:39 MYT
Mac 12, 2015 18:39 MYT
Datin Nawal Salleh telah dilantik sebagai Pengarah Lembaga Peperiksaan baharu bermula Isnin lalu.
Beliau menggantikan Dr Na'imah Ishak yang telah digantung tugas September lepas berikutan kes kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.
Jelas Nawal, beliau sebenarnya pernah berkhidmat di Lembaga Peperiksaan sebelum ini sebelum bertugas di Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"Jadi di sini tidaklah tempat baru sebenarnya, saya mencari pengalaman di jabatan lain dan membawanya di sini," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata beliau akan memastikan budaya peperiksaan di negara ini sentiasa berada di landasan kecemerlangan.
"Keutamaan ilmu penting bagi negara ini dimana sistem pembelajaran berorientasikan peperiksaan.
"Gambarkan ilmu melalui peperiksaan, budaya berilmu itu dapat diterjemahkan melalui peperiksaan," katanya ketika mengulas aspirasi dan semangat yang akan dibawanya sebagai Pengarah Lembaga Peperiksaan yang baharu.
Tambahnya, pengalaman lepas akan digunakan sepenuhnya dengan bantuan Menteri dan Ketua Pengarah bagi memastikan kelancaran perjalanan Lembaga Peperiksaan di masa hadapan.
Dilahirkan pada 2 Februari 1957, ibu yang berusia 58 tahun ini mempunyai enam cahaya mata.
Pada September tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penggantungan tugas serta-merta Dr Na'imah dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas peperiksaan UPSR 2014 selesai.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Datuk Misrah Ibrahim akan menjalankan tugas dan tanggungjawab pengarah Lembaga Peperiksaan dalam tempoh itu.