Nawabs ramal kemarau dua bulan lebih awal, bantu agensi sedia langkah mitigasi

Bernama
Mei 10, 2024 16:58 MYT
Amaran awal membolehkan semua agensi berkaitan khususnya agensi teknikal merancang persediaan awal dan mengambil tindakan mitigasi bersesuaian. - Gambar hiasan/Bernama
SHAH ALAM: Penggunaan Sistem Pengurusan Imbangan Air Negara (Nawabs) membolehkan ramalan kemungkinan kemarau diketahui dua bulan lebih awal, manakala amaran berlaku kemarau dapat diperoleh 14 hari lebih awal.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor Nasser Salim berkata amaran awal Nawabs itu membolehkan semua agensi berkaitan khususnya agensi teknikal merancang persediaan awal dan mengambil tindakan mitigasi bersesuaian bagi meminimumkan kesan bencana itu.
"Bila (berdepan situasi) krisis (kemarau), keutamaan (bekalan air) akan diberikan kepada (pengguna) domestik. Jadi kita memberikan data yang diperlukan untuk kerajaan negeri membuat keputusan, cukup atau tidak (bekalan air). Itu adalah apa yang kita boleh bantu," katanya kepada media baru-baru ini.
Beliau berkata di Selangor terdapat dua lembangan sungai iaitu Lembangan Sungai Bernam dan Lembangan Sungai Klang terlibat dengan Nawabs, dengan kedua-duanya dalam status pengoperasian.
Nawabs dibangunkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Mac lepas, memaklumkan pembangunan Nawabs melibatkan 19 lembangan sungai.
Nasser berkata selain data JPS, maklumat berkaitan amaran bencana juga diperoleh melalui kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang mempunyai sistem radar yang canggih, dengan amaran kemarau atau banjir, juga dikongsikan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi tindakan sewajarnya.
Berhubung aspek sekuriti air, Nasser berkata Selangor mempunyai tujuh empangan bagi tujuan storan air bagi bekalan penggunaan domestik, pertanian dan perindustrian di negeri itu terutamanya pada musim kemarau.
"Di Selangor, ada satu jawatankuasa bencana yang memantau peratusan takungan air di empangan setiap hari dan daripada situ, kita dapat tahu jika berlaku penurunan (paras air) ketara, membolehkan tindakan segera diambil," katanya dan menambah setakat ini, kapasiti empangan adalah mencukupi iaitu melebihi 78 peratus.
Selain itu, Nasser berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut menyelaras bantuan antara operator air negeri semasa menghadapi krisis bekalan air akibat bencana alam atau faktor luar jangka, dalam pemberian bantuan teknikal, bantuan bekalan atau yang berkaitan.
Ditanya mengenai isu banjir kilat di Selangor, Nasser menyatakan pelbagai faktor boleh menyebabkan kejadian itu, termasuk pembuangan sampah ke sistem perparitan selain pembukaan atau perubahan tanah secara tidak terancang.
-- BERNAMA
#nawabs #ramalan kemarau #langkah mitigasi #persediaan awal #cuaca
;