Nautical Aliya diberi amaran mengenai risiko rompakan di perairan Chittagong
Bernama
Februari 12, 2017 22:37 MYT
Februari 12, 2017 22:37 MYT
Biro Maritim Antarabangsa (IMB) telah memberi amaran kepada Nautical Aliya mengenai risiko rompakan di perairan Chittagong, Bangladesh.
Nautical Alya, yang menjalankan misi kemanusiaan "Food Flotilla for Myanmar" justeru meminta para sukarelawan misi kemanusiaan yang berada di atas kapal itu supaya berwaspada apabila kapal tersebut berada di sempadan perairan pelabuhan Chittagong.
Menurut Talian Hotline Keselamatan Maritim IMB, terdapat kumpulan lanun yang menjadikan kapal-kapal yang berlabuh atau membuat persediaan untuk berlabuh di Chittagong sebagai sasaran rompakan.
"Insiden rompakan oleh lanun dan rompakan bersenjata dilaporkan berlaku di Chittagong dari 2 hingga 8 Feb. Amaran itu dimaklumkan kepada Nautical Aliya menggunakan "Global Maritime Distress Safety System (GMDSS) pada 9 Feb," kata biro itu dalam satu kenyataan.
Apabila kapal menggunakan GMDSS, ia pada dasarnya menghantar isyarat kecemasan melalui satelit atau peralatan komunikasi radio.
Ia juga digunakan sebagai medium untuk menghantar atau menerima informasi keselamatan dan saluran komunikasi umum.
Ketua misi bantuan kemanusiaan, Datuk Seri Abdul Azeez Abdulrahim berkata Nautical Aliya akan diiringi ke destinasinya oleh sebuah kapal dari Tentera Laut Bangladesh.
Pada Khamis, kapal itu berlabuh di pelabuhan Yangon di Myanmar untuk menghantar bekalan bantuan kepada etnik Rohingya di sana sebelum meneruskan pelayaran ke Chittagong.
Misi itu membawa bersama lebih 2,000 tan makanan, ubat-ubatan, barangan keperluand harian, pakaian dan kain selimut.
"Misi "Food Flotilla for Myanmar" dianjurkan oleh Kelab Putera 1Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia.
Kapal itu membawa 195 sukarelawan dari 12 negara terdiri daripada kakitangan perubatan, guru, pengamal media tempatan dan antarabangsa serta anggota pertubuhan bukan kerajaan.
-- BERNAMA
#'Food Flotilla for Myanmar'
#Abdul Azeez Abdul Rahim
#Bangladesh
#Chittagong
#Nautical Aliya
#Rakhine
#Rohingya
#Sittwe
#Teknaf
#Yangon