Naufal Amsyar, bayi 10 bulan meninggal dunia

Shuhada Abdul Kadir
Julai 21, 2018 11:28 MYT
Naufal Amsyar bersama ibunya Noraziqah. Bayi itu meninggal dunia sekitar jam 9 pagi tadi.
Bayi malang berusia 10 bulan, Naufal Amsyar Nabil Fikri, yang cedera parah di kepala dipercayai akibat terjatuh dari buaian di rumah pengasuhnya, menghembuskan nafas terakhir pagi tadi.
Ayahnya, Nabil Fikri Anwar, 28 tahun, ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, anak tunggalnya itu meninggal dunia sekitar jam 9 pagi tadi selepas empat hari menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.
Katanya, anaknya menghembuskan nafas terakhir di sisi dia dan isteri, Noraziqah Rohmat, 23 tahun, selain beberapa anggota keluarga terdekat.
Nabil yang juga kakitangan Majlis Daerah Tangkak berkata, anaknya akan dikebumikan di Tangkak selepas waktu Zohor.
Selasa lalu, bayi malang terbabit dimasukkan ke HPSF setelah dirujuk daripada Hospital Tangkak apabila pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di dahi kiri, pendarahan mata selain retak tempurung kepala yang serius.
Bayi itu dipercayai terjatuh daripada buaian sebanyak dua kali sebelum ini ketika berada di rumah pengasuh di Taman Sialang, Tangkak.
Susulan itu, seorang wanita berusia 35 tahun yang juga pengasuh Naufal kini direman polis selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
#bayi jatuh #Naufal Amsyar #pengasuh #Tangkak
;